26.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 1, 2025

KRU cetus fenomena: Konsert ke-5 genKRU The Finale gegarkan Stadium Hoki Bukit Jalil

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan legenda muzik tanah air, KRU, sekali lagi mencipta sejarah apabila mengumumkan konsert kelima mereka dalam tempoh setahun, dengan penganjuran genKRU The Finale: One More Time yang bakal berlangsung pada 22 November 2025 di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Konsert berskala besar ini dianjurkan oleh ICON Entertainment yang diterajui oleh penerbit prolifik, Iman Tang, susulan sambutan luar biasa terhadap empat siri konsert terdahulu yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.

Siri konsert berkenaan bukan sahaja mencetus fenomena, malah berjaya memecah rekod dalam Malaysia Book of Records menerusi dua pencapaian gemilang: “Most Shows in a Single Concert Series” dan “Most Concert Tickets Sold Out in an Hour”.

Melangkah ke konsert kelima ini, KRU sekali lagi membuktikan bahawa mereka bukan sekadar ikon muzik, tetapi juga ‘gamechangers’ dalam industri hiburan tanah air.

Persembahan kali ini dijangka menjadi perhimpunan epik buat para peminat tegar KRU yang masih setia sejak era 90-an hingga kini.

Menurut Iman Tang, penganjuran kali ini adalah reaksi langsung terhadap permintaan luar biasa daripada peminat dan sokongan padu para penaja yang tidak jemu memberi kerjasama.

“Kami telah ‘berhari raya’ selama empat hari dalam siri konsert lalu, dan rasanya tidak salah untuk melakukannya sekali lagi sebagai penutup yang sebenar.

“Peminat tidak berhenti mendesak kami untuk membawa KRU kembali ke pentas berskala besar,” katanya.

Beliau turut menyifatkan fenomena ini sebagai refleksi kepada perubahan trend penganjuran konsert di Malaysia yang kini seiring dengan arus global.

“Jika dilihat, trend konsert antarabangsa kini berlangsung selama beberapa hari berturut-turut.

“Kini, trend tersebut sudah mula meresap ke dalam industri hiburan tempatan. Ini adalah perkembangan yang sangat positif,” katanya.

Bagi KRU, peluang untuk kembali ke pentas buat kali kelima adalah satu penghormatan dan bukti bahawa muzik tempatan terus mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Mewakili KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, mereka tidak pernah menyangka konsert yang dirancang satu hari akan berkembang menjadi siri persembahan yang begitu besar.

“Sejujurnya, kami tidak pernah jangka akan ada hari kedua, ketiga, apatah lagi konsert kelima. Tapi inilah buktinya bahawa pemuzik lokal kini tidak lagi menjadi anak tiri dalam industri hiburan negara.

“Kita sendiri harus menjadi pemacu perubahan menjadi gamechangers supaya industri ini terus berkembang maju,” katanya.

Konsert genKRU The Finale: One More Time dijangka menarik puluhan ribu penonton ke Stadium Hoki Bukit Jalil. Ia bukan sekadar konsert nostalgia, tetapi sebuah pengalaman muzikal yang meraikan warisan 30 tahun KRU dalam industri muzik Malaysia.

Konsert dijadual bermula pada jam 8.30 malam dan menawarkan pelbagai kategori tiket dengan nama-nama unik yang sinonim dengan lagu-lagu KRU seperti MENGERTI (RM188), AWAS (RM228), THE WAY WE JAM (RM238), sehinggalah ke TERHANGAT DI PASARAN (RM558).

Tiket boleh mula dibeli pada 3 Oktober 2025, jam 11 pagi menerusi laman rasmi ticket2u.com.my/genkruFinale.

Peminat juga digalakkan untuk hadir dengan kod pakaian era 90-an, bagi menambahkan suasana nostalgia dan meraikan zaman kegemilangan KRU dengan penuh gaya.

Konsert ini turut mendapat sokongan pelbagai penaja dan rakan media rasmi, termasuk DTC sebagai pengangkutan rasmi, serta stesen radio seperti ERA, SINAR, GEGAR dan ZAYAN.

Sementara itu, Astro Gempak bertindak sebagai rakan digital rasmi yang akan menyalurkan liputan serta kandungan eksklusif menjelang dan semasa konsert berlangsung.

Dengan reputasi sebagai kumpulan pelopor dalam industri muzik pop dan R&B tempatan, KRU sekali lagi membuktikan bahawa jenama mereka kekal relevan dan terus menjadi inspirasi kepada generasi pemuzik yang baharu.

genKRU The Finale: One More Time bukan sahaja meraikan legasi, tetapi juga menjadi simbol kebangkitan industri muzik tanah air yang kini kembali rancak dan bersedia untuk mengukir sejarah baharu.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular