editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Malam gemilang yang penuh prestij menyinari dunia keusahawanan tanah air menerusi penganjuran Pinnacle of Success Business Award (POSBA) 2025 yang berlangsung di The Majestic Hotel Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dikenali sebagai “Oscar” dunia perniagaan Malaysia, majlis berprestij ini dianjurkan bersama oleh WargaBiz, platform media perniagaan utama negara dan MySayang Malaysia, dengan sokongan strategik daripada SME Corporation Malaysia.
Lebih 800 tetamu kehormat yang terdiri daripada pembuat dasar, tokoh industri, serta pemimpin berwawasan hadir meraikan pencapaian luar biasa para usahawan tempatan.
Majlis ini turut diserikan dengan keberangkatan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta kehadiran Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Dato’ Nainy.
Dalam ucapan perasmiannya, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah berkata, anugerah ini bukan sekadar meraikan pencapaian, sebaliknya menghargai semangat keusahawanan Malaysia yang dibina atas asas visi, keberanian dan keyakinan terhadap masa depan yang lebih baik.

Katanya, kejayaan sebenar tidak hanya diukur pada kekayaan atau pengiktirafan, tetapi pada impak terhadap kehidupan masyarakat serta legasi yang ditinggalkan.
Sementara itu, Pengerusi POSBA 2025, Tengku Loreta Tengku Dato’ Setia Ramli Alhaj turut menyentuh tentang nilai-nilai kemanusiaan yang menjadi teras kepada setiap kisah kejayaan.
Beliau menyifatkan penerima anugerah sebagai pembina negara, pencetus harapan dan ikon teladan yang mencerminkan yang terbaik dari Malaysia.
Antara tokoh terkemuka yang menerima Pinnacle Industry Icon Award termasuk Nicholas Lim Pinn Yang (CEO Foodie Media Sdn Bhd), Datuk Zang Toi (pereka fesyen bertaraf antarabangsa), dan Datuk Burhanuddin Md Radzi (pengasas Les’ Copaque Production Sdn Bhd) yang berjaya membawa budaya Malaysia ke pentas global menerusi animasi Upin & Ipin.
Turut menerima pengiktirafan ialah legenda skuasy negara Datuk Nicol David, Dato’ Hajah Aspalela Ramly (Zar Lynx Sdn Bhd), Tan Sri Rozali Ismail (Puncak Niaga Holdings Bhd), Dr Jest Wong (Harper Elite Sdn Bhd), serta Dato’ Sani Salleh (Sani United Berhad & Sani Group).
Sinar keunggulan turut menyerlah dalam kalangan wanita apabila anugerah Pinnacle Industry Woman Icon of the Year disampaikan kepada Datuk Dr Denise Lim (VKids Trend Sdn Bhd).
Datin Wira Prof Dr Janet Lo dan Dr Kalaiselvi Krishnan pula dinobatkan sebagai Pinnacle Distinguished Woman Entrepreneur of the Year, manakala Mardiana Made (DS Rich Manufacturing Sdn Bhd) dipilih sebagai Pinnacle Young & Dynamic Woman Entrepreneur of the Year, melambangkan gelombang baharu kepimpinan wanita dalam perniagaan Malaysia.
POSBA 2025 turut mengiktiraf sumbangan tokoh berwibawa menerusi Pinnacle Distinguished Personality of the Year yang dianugerahkan kepada Dato’ Sri Nazeri Omar dari RF3 World Sdn Bhd atas sumbangannya dalam industri kecantikan dan kesihatan.
Dari sudut korporat, pelbagai syarikat menerima anugerah berdasarkan pencapaian mereka dalam membina legasi, keupayaan berkembang dan jenama yang dipercayai rakyat Malaysia.
Antara penerima Pinnacle Legacy Business of the Year termasuk Les’ Copaque Production, ST Rosyam Mart, Kedai Emas Kamarulhadi dan Zar Lynx.

Anugerah Pinnacle Established Business of the Year pula diberikan kepada syarikat seperti Mega Jati Academy, Beauboss Sdn Bhd dan Kaiye Industries, yang menampilkan keunggulan dalam sektor masing-masing.
Untuk kategori permulaan, Pinnacle Startup of the Year dianugerahkan kepada PRC Group Sdn Bhd, Finn Beauty dan Maxvard Dynamic Sdn Bhd syarikat yang mewakili barisan pelapis masa depan keusahawanan Malaysia.
Dalam aspek penjenamaan, anugerah Pinnacle Champion Brand of the Year mengiktiraf jenama yang mencerminkan kepercayaan pengguna seperti Co-opbank Pertama, Nutrilavish, Dentist Malaya dan Beautyspells.
Sementara itu, Maaya Beauty muncul sebagai Pinnacle Rising Brand of the Year manakala Do’zee, Serai Group dan Upin & Ipin diangkat sebagai Pinnacle Master Brand of the Year, mencerminkan status ikon budaya tempatan dengan pengaruh antarabangsa.
POSBA bukan sahaja menjadi medan pengiktirafan, malah platform untuk mengangkat suara usahawan, membina reputasi serta mengukur kejayaan mengikut piawaian global.
Di sebalik anugerah ini berdiri dua organisasi utama WargaBiz yang sejak 2017 telah menjadi rujukan utama dalam liputan dunia keusahawanan negara, serta MySayang Malaysia, sebuah badan yang menekankan kemajuan mampan dan seimbang antara ekonomi dan penjagaan alam sekitar.
POSBA 2025 bukan sekadar meraikan pencapaian, tetapi menjadi refleksi kepada masa depan Malaysia yang dibentuk oleh semangat inovasi, daya tahan dan komitmen terhadap kesejahteraan bersama.
Ia menandakan bahawa Malaysia bukan sahaja sebuah negara penuh peluang, tetapi juga sumber inspirasi kepada dunia.

