31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

Raja Muda Selangor raikan usahawan OKU cemerlang menerusi SAY LEAD 2025

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Tiga usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) telah dinobatkan sebagai Ikon Usahawan OKU Selangor oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, dalam satu majlis gilang-gemilang sempena Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Keenam yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, baru-baru ini.

Penganjuran SAY LEAD adalah sebahagian daripada inisiatif tahunan Selangor Youth Community (SAY), sebuah organisasi bukan kerajaan yang diasaskan sendiri oleh DYTM Raja Muda Selangor dengan objektif memperkasa golongan usahawan OKU di negeri Selangor.

Bagi edisi kali ini, sebanyak 30 penyertaan diterima sebelum 10 peserta terbaik dipilih untuk membuat pembentangan cadangan perniagaan mereka di hadapan panel juri profesional, diketuai oleh DYTM Raja Muda Selangor.

Majlis penuh inspirasi itu turut diserikan dengan kehadiran Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi, yang menegaskan kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk komuniti OKU, diberi ruang dan peluang yang adil dalam pembangunan ekonomi negeri.

Menurut beliau, pelbagai potensi luar biasa telah ditampilkan oleh peserta dalam SAY LEAD tahun ini, khususnya dalam bidang makanan, minuman, kraftangan dan perkhidmatan seperti dobi.

Salah seorang peserta, Norhaiza Selamat, menarik perhatian juri dengan produk beg tangan berasaskan kain batik yang bukan sahaja berfungsi, tetapi juga bercirikan keunikan tempatan yang mampu menembusi pasaran lebih luas.

Seorang lagi peserta yang mencuri perhatian ialah Aiman, usahawan muda dalam lingkungan usia 20-an yang menghidap autisme.

Melalui bakat dan ketekunan, beliau berjaya menghasilkan produk kraftangan berasaskan tumbuhan semula jadi yang tampil kreatif dan bernilai estetik tinggi.

Karya beliau menjadi simbol kepada kemampuan dan daya cipta luar biasa dalam kalangan usahawan muda berkeperluan khas.

Edisi kali ini juga menyaksikan penglibatan aktif usahawan wanita, dengan tujuh daripada sepuluh finalis terdiri daripada peserta wanita OKU.

Ini sekaligus memperlihatkan peranan penting yang dimainkan oleh wanita, termasuk golongan istimewa, dalam memacu ekosistem keusahawanan negeri.

SAY LEAD 2025 telah bermula sejak Mei lalu, dengan penglibatan peserta dalam pelbagai modul pembangunan perniagaan termasuk profil keusahawanan, penjenamaan dan pemasaran digital, pengurusan kewangan, serta sesi perkongsian bersama agensi berkaitan.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor dalam mengenal pasti peserta berkelayakan.

Dalam memastikan kelangsungan program, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) tampil menyumbang dana sebanyak RM20,000 serta menyediakan bimbingan dan geran perniagaan kepada para pemenang.

Google turut menaja sebahagian pelaksanaan program ini, menandakan kerjasama strategik antara sektor kerajaan dan swasta dalam memperkasa komuniti OKU.

Tiga peserta yang diumumkan sebagai pemenang bagi SAY LEAD Edisi Keenam ini ialah Nur Sabrina Md Salleh, 30, yang merangkul gelaran juara, diikuti oleh Norhaiza Selamat, 45, sebagai naib juara dan Nor Azura Othman, 44, yang menduduki tempat ketiga.

Mereka masing-masing menerima piala dan sijil pengiktirafan, geran perniagaan berjumlah RM5,000, RM4,000 dan RM3,000, serta akses eksklusif ke dalam program lanjutan SAY LEAD+ selama tiga bulan.

Program lanjutan ini memberi bimbingan dalam aspek pasaran digital, eksport produk serta penyertaan dalam reruai promosi secara percuma.

Selain itu, dua peserta turut menerima pengiktirafan khas sebagai Usahawan Harapan atas potensi besar dan nilai inovatif yang ditampilkan sepanjang program.

Peserta SAY LEAD juga bakal menerima sistem POS tajaan Yayasan MBI Selangor dan laman sesawang perniagaan secara percuma yang dibangunkan oleh App Engage, sebagai sokongan awal untuk mengembangkan kehadiran perniagaan mereka secara digital.

Melalui inisiatif ini, Selangor sekali lagi menzahirkan komitmennya untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.

Dengan gabungan sokongan kerajaan negeri, agensi berkaitan dan sektor swasta, SAY LEAD bukan sekadar platform pengiktirafan, malah merupakan batu loncatan untuk melahirkan usahawan OKU yang berdaya saing, berdikari dan mampu menembusi pasaran global.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular