28.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 14, 2025

OK Group lantik Fattah Amin sebagai duta minuman tenaga, kukuhkan penjenamaan tempatan ke peringkat global

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama tempatan yang telah kukuh dalam industri herba dan produk kesihatan sejak 1975, Orang Kampung Group (OK Group), kini melangkah setapak lagi apabila mengumumkan pelantikan selebriti terkenal tanah air, Fattah Amin, sebagai Duta Produk Minuman Tenaga Orang Kampung.

Pelantikan ini disifatkan sebagai langkah strategik dalam meremajakan jenama yang sinonim dengan produk berasaskan herba tempatan, sekali gus memperluas jangkauan pasaran kepada golongan pengguna moden yang semakin mengutamakan gaya hidup aktif, kecergasan dan pemakanan sihat.

Pengarah Urusan OK Group, Datuk Habibul Ajmi Datuk Manggar berkata, pemilihan Fattah bukan sahaja berdasarkan popularitinya, tetapi kerana imej bersih, berdisiplin dan aktif yang selari dengan nilai jenama Orang Kampung.

“Fattah mencerminkan ciri-ciri positif yang kami perjuangkan. Kami percaya pelantikannya bukan sahaja mampu mengukuhkan kedudukan jenama dalam pasaran domestik, malah dapat menarik minat pengguna wanita yang secara tradisi dikenali sebagai kuasa pembeli utama,” katanya.

Pelantikan ini juga dilancarkan seiring dengan pengenalan produk edisi terhad terbaharu, KF Limited Edition, yang tampil dengan pembungkusan eksklusif dan hanya boleh didapati di lokasi terpilih seperti stesen minyak PETRONAS Mesra, rangkaian pasar raya Mydin serta platform e-dagang utama.

Sementara itu, Fattah Amin berkata, kolaborasi ini membawa makna peribadi yang mendalam.

Dia menyatakan rasa bangga dan teruja apabila diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar jenama yang telah menjadi pilihan keluarganya sejak kecil.

“Produk Orang Kampung memang dekat dengan saya. Ibu bapa saya pengguna setia sejak dulu.

“Sebagai pelakon, saya perlukan tenaga sepanjang hari dan saya yakin dengan kandungan semula jadi dalam produk ini,” kata Fattah yang kini turut aktif sebagai usahawan dan ikon gaya hidup sihat.

OK Group yang berpengkalan di Melaka memulakan operasinya sebagai pengeluar produk tradisional berasaskan herba seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah.

Seiring peredaran masa, syarikat ini menjalani proses transformasi menyeluruh dan kini dikenali melalui rangkaian produk minuman tenaga berasaskan formulasi herba warisan, yang dikembangkan dengan sentuhan pembungkusan moden dan kontemporari.

Minuman tenaga Orang Kampung diformulasikan mengikut piawaian pengilangan MESTI, disahkan HALAL oleh JAKIM dan mematuhi standard ketat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Setakat ini, tiga varian utama ditawarkan, masing-masing memenuhi keperluan pengguna yang berbeza.

Varian KF, khusus untuk wanita, mengandungi Kacip Fatimah dan diformulasikan untuk mengekalkan tenaga serta kesegaran tubuh secara semula jadi.

Varian Longjack pula dirumus untuk lelaki dan wanita, menggabungkan Tongkat Ali dan Guarana bagi membantu meningkatkan stamina serta fokus.

Manakala Longjack X, varian paling terkini, dicipta untuk individu dengan gaya hidup aktif dan memerlukan prestasi tenaga yang lebih intensif.

Kejayaan domestik yang konsisten turut membuka peluang kepada jenama ini untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Ketika ini, minuman tenaga Orang Kampung telah mula dipasarkan di Singapura dan Brunei dua negara yang menunjukkan permintaan memberangsangkan terhadap produk berasaskan herba semula jadi.

Melihat kepada potensi besar pasaran global, OK Group kini giat merancang kemasukan ke pasaran Eropah, dengan tumpuan awal kepada komuniti Asia Tenggara di rantau terbabit.

Perbincangan bersama rakan dagang luar negara sedang giat dijalankan termasuk penyediaan rangkaian pengedaran eksklusif.

Dengan pelantikan Fattah Amin sebagai wajah baharu jenama dan pelan pengembangan global yang tersusun, OK Group terus membuktikan bahawa produk tempatan juga mampu bersaing di pentas antarabangsa mengangkat warisan herba Malaysia ke persada dunia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular