26.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 15, 2025

Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia kecam laporan polis terhadap wartawan Malaysiakini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia (PKMM) mengecam keras tindakan seorang individu yang didakwa mewakili seorang hakim kanan kerana membuat laporan polis terhadap seorang wartawan portal berita Malaysiakini.

Tindakan itu dikatakan berpunca daripada usaha wartawan berkenaan untuk mendapatkan ulasan daripada hakim terbabit berhubung dakwaan tertentu dalam sebuah mesyuarat tertutup.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PKMM, Nik Suryani Megat Deraman, laporan polis itu difahamkan telah dibuat pada 12 Jun lalu selepas wartawan terbabit menghubungi hakim berkenaan sebagai sebahagian daripada proses kewartawanan bagi mendapatkan pengesahan fakta.

Katanya, tindakan wartawan itu adalah sebahagian daripada amalan biasa dalam profesion kewartawanan yang beretika dan sah di sisi undang-undang.

“Kami ingin menegaskan bahawa usaha wartawan untuk mendapatkan pengesahan atau komen daripada pihak yang terbabit adalah sejajar dengan prinsip kewartawanan beretika.

“Ini bukan sahaja amalan profesional, malah satu tanggungjawab asas demi memastikan laporan yang disiarkan bersandarkan kepada fakta, sahih dan adil,” kata Nik Suryani dalam satu kenyataan.

PKMM turut menekankan tindakan menghubungi mana-mana sumber, termasuk pihak berkepentingan seperti hakim atau pegawai kerajaan, adalah selaras dengan piawaian profesional dan kod etika kewartawanan yang diterima pakai di peringkat nasional dan antarabangsa.

Oleh itu, sebarang usaha wartawan untuk mengemukakan soalan atau mendapatkan komen tidak wajar dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.

Persatuan itu turut menyeru semua pihak, termasuk institusi kehakiman dan agensi penguatkuasaan, supaya memahami dan menghormati peranan penting media dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam masyarakat.

Mereka mengingatkan bahawa hak wartawan untuk bertanya soalan mesti dipertahankan dan dilindungi selaras dengan prinsip kebebasan media yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi yang sihat.

“Kami memperjuangkan kebebasan, akauntabiliti dan profesionalisme media dan kami berdiri teguh bersama Malaysiakini serta seluruh warga wartawan yang menjalankan tugas mereka dengan penuh etika, tanggungjawab dan keberanian,” kata Nik Suryani.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti kewartawanan terhadap trend yang semakin membimbangkan, di mana usaha wartawan untuk menjalankan tugas mereka dijadikan sasaran laporan atau tindakan undang-undang yang tidak wajar.

PKMM berharap agar insiden seumpama ini tidak berulang dan pihak berkuasa diminta bertindak secara adil serta seimbang dalam menilai sebarang aduan terhadap wartawan.

Dalam iklim demokrasi yang matang, kebebasan media bukan sahaja perlu dihormati tetapi juga dilindungi demi menjamin hak masyarakat untuk mendapat maklumat yang tepat dan bertanggungjawab.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular