editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dalam suasana penuh kasih sayang dan keceriaan Aidilfitri, Raya Dipelukan Mak, karya sulung daripada Ryan Bakery, hadir dengan sebuah filem pendek yang sarat dengan emosi dan pengajaran mendalam.
Kisah hubungan antara seorang anak dan ibu yang hidup berdua tanpa kehadiran bapa ini pastinya akan mengundang air mata penonton, menggamit perasaan kasih sayang dalam kalangan keluarga.
Filem pendek ini menjadi percubaan pertama Ryan Bakery untuk menonjolkan sisi seriusnya sebagai seorang pengarah dan pencipta kandungan.
Ryan berkata, idea untuk filem ini sudah ada sejak beberapa tahun lalu.
Dia yang terkenal dengan karya-karya lawaknya, ingin meneroka sisi lain dalam dirinya.
“Selama ini orang hanya nampak saya dalam versi lawak. Kali ini saya mahu bawa sesuatu yang lebih mendalam dan memberi kesan kepada penonton.
“Raya Dipelukan Mak adalah hasil eksplorasi saya terhadap emosi dan hubungan kekeluargaan,” katanya mengenai projek pertamanya yang begitu dekat di hati.
Meskipun Ryan terkenal dengan sifat lawaknya, filem pendek ini mengisahkan dua beranak, Aman dan Mak Ani, yang terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran hidup tanpa ayah. Emosi mendalam dan konflik yang dialami watak utama menjadi daya penarik utama dalam kisah ini.

Skrip filem ini ditulis oleh Marr Mohamad, yang berjaya merungkai isu-isu besar dalam hubungan keluarga.
“Kita selalu berhati-hati untuk menjaga perasaan orang tua, tetapi tanpa sedar, kadangkala kita melukakan hati mereka.
“Itu yang saya ingin sampaikan dalam filem ini. Hubungan antara anak dan ibu memang sering kali penuh dengan cabaran yang kadang-kadang tidak kita sedari,” katanya.
Pelakon-pelakon hebat seperti Khatijah Tan, Ellie Suriaty Omar, Fendi London, Uyaina Arshad, Adriana Adnan, Dafi, dan To’ Puan Syamim Freida turut membawakan watak-watak yang menambah ketegangan emosi dalam cerita ini.
Kemunculan istimewa isteri Ryan, Eliya Ibrahim, juga menambah warna kepada naskhah ini.
Bukan hanya sekadar hiburan, Raya Dipelukan Mak membawa penonton menghayati nilai kekeluargaan yang sebenar.
Meskipun kisah ini kelihatan biasa, namun isu yang diketengahkan sering berlaku dalam masyarakat, tanpa kita sedari.
Ryan berharap mesej ini dapat memberi kesedaran kepada penonton tentang pentingnya menghargai ibu bapa sebelum terlambat.

“Filem ini bukan hanya tentang anak dan ibu, tetapi tentang bagaimana kita sering kali terlupa untuk menghargai mereka yang selalu ada di sisi kita.
“Semoga Raya Dipelukan Mak memberi manfaat dan membuka mata penonton terhadap pentingnya kasih sayang dalam keluarga,” katanya.
Raya Dipelukan Mak yang diterbitkan oleh Ryan dan Elyias Omar, kini boleh ditonton di saluran YouTube Ryan Bakery.
Filem pendek ini dijangka menjadi sebuah karya yang akan meninggalkan kesan mendalam kepada mereka yang menontonnya.