31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

Prasarana kesal insiden pengguna OKU di Stesen Titiwangsa, ambil tindakan tingkatkan keselamatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) amat kesal dan berdukacita dengan insiden yang membabitkan seorang pengguna orang kurang upaya (OKU) penglihatan di Stesen Titiwangsa pada Sabtu lalu.

Sebagai respons, Prasarana mengumumkan akan memberikan bantuan ihsan kepada keluarga mangsa yang terbabit untuk membantu mereka menghadapi saat yang penuh cabaran ini.

“Dalam usaha untuk memastikan keselamatan semua pengguna, terutama golongan OKU, Prasarana segera mengambil langkah-langkah proaktif untuk meningkatkan kawalan keselamatan di stesen-stesen yang tidak dilengkapi dengan pintu platform automatik (PSD) dan yang mempunyai bilangan pengguna OKU yang tinggi.

“Antara langkah yang diambil adalah dengan menambah bilangan anggota polis bantuan di platform-platform terbabit bagi memantau dan memberi pertolongan dengan lebih efisien,” katanya dalam satu kenyataan.

Prasarana juga telah memperkenalkan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk meningkatkan mutu pemantauan keselamatan, khususnya di platform-platform stesen.

“Sebagai tambahan, pihak Prasarana sedang dalam proses menaiktaraf kamera litar tertutup (CCTV) kepada model SMART yang lebih canggih, yang mampu mengesan perilaku mencurigakan serta memberikan amaran awal kepada pihak operasi sekiranya berlakunya sebarang insiden.

“Pemasangan sistem kamera ini dijangka selesai menjelang akhir tahun ini, bermula dengan Laluan Monorel, diikuti dengan laluan-laluan lain.

“Untuk langkah jangka panjang, Prasarana sedang merancang untuk memasang pintu platform automatik (PSD) di Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Kelana Jaya,” katanya kenyataan itu lagi.

Katanya, pemasangan PSD yang sudah siap di Laluan Monorel pada tahun lalu, dijangka akan mengurangkan risiko pengguna terjatuh ke atas landasan, sekaligus meningkatkan tahap keselamatan.

“Bagi memastikan penyelesaian yang lebih menyeluruh, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menjalankan siasatan terperinci.

“Hasil laporan terbabit akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan Prasarana akan segera melaksanakan sebarang cadangan penambahbaikan berdasarkan laporan itu.

“Prasarana juga berkomitmen untuk meningkatkan penglibatan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan OKU bagi mendapatkan maklum balas dan memperbaiki prosedur keselamatan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mereka menggesa semua pengguna yang memerlukan bantuan tambahan, terutamanya golongan OKU, agar mendapatkan khidmat sokongan daripada petugas stesen sebelum menaiki tren.

Semua petugas di stesen telah dilatih untuk membantu golongan OKU, warga emas, dan kanak-kanak, memastikan mereka dapat menikmati perjalanan yang selamat dan lancar.

Dengan komitmen berterusan untuk menyediakan pengangkutan awam yang selamat, selesa, dan mesra OKU, Prasarana terus memperkasakan keselamatan dan kemudahan bagi semua lapisan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular