26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Pelantikan Thaksin sebagai penasihat tidak rasmi Kepengerusian ASEAN tingkat ekonomi dan teknologi negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa pelantikan Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertujuan untuk meningkatkan ekonomi serta mendorong perkembangan teknologi baharu.

Anwar berkata, pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand itu turut mempunyai peranan penting dalam merintis usaha damai di selatan Thailand serta menyelesaikan krisis politik dan kemanusiaan yang masih berlarutan di Myanmar.

“Kepakaran dan jaringan hubungan luas yang dimiliki Thaksin di rantau ini membolehkan beliau memainkan peranan penting dan membuka peluang bagi Malaysia dan ASEAN untuk menangani cabaran-cabaran ini dengan penuh keyakinan,” kata Anwar.

Anwar turut berkongsi bahawa beliau dan Thaksin telah bertukar pandangan tentang usaha untuk mengukuhkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Thailand, serta kesepakatan visi yang telah dikongsi bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

“Kami percaya bahawa Malaysia dan Thailand mampu mencipta kejayaan bersama untuk kedua-dua negara serta rantau ini.

“Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, 16 Disember lalu, Anwar mengumumkan pelantikan Thaksin, menyatakan bahawa Malaysia memerlukan negarawan berpengalaman seperti Thaksin untuk berkongsi kepakaran dan idea dalam menangani isu-isu serantau.

“Saya bersetuju untuk melantik Thaksin sebagai penasihat peribadi saya dalam membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, dengan kerangka tidak rasmi,” katanya.

Thaksin juga dikenali sebagai bapa kepada Paetongtarn Shinawatra, anak bongsu dalam keluarga berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular