editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Fattah Amin mengesahkan ada menerima surat tuntutan (Letter Of Demand) daripada bekas isterinya, Nur Fazura berkenaan tuntutan kenderaan jenis, Range Rover.
Fattah berkata, dia enggan berkongsi lanjut mengenai isu itu, sebaliknya menyerahkan urusan berkenaan kepada pihak peguam.
“Saya akui ada menerima surat tuntutan itu dan perkara ini diuruskan oleh peguam saya. Saya sudah bagi kenyataan mengenai perkara itu di mahkamah sebelum ini.
“Oleh itu, saya tidak mahu komen apa-apa lagi. Ini adalah perkara privasi dan saya tidak boleh kongsi.
“Saya serahkan semuanya kepada peguam untuk membalas mengenai hal itu,” katanya.

Fattah ditemui pada majlis perasmian Usanita Entertainment yang diadakan di Restoran De’Wan Bangsar, Kuala Lumpur.
Untuk info, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun.
Dalam perkembangan lain, Fattah bersama pelakon jelita, Sophia Albarakbah diberi tugas menggalas tanggung jawab menjadi ‘wajah’ bagi Usanita.
Kedua-dua pelakon itu bakal tampil dalam drama bersiri berjudul, ‘Aku Cinta Dia’ sebagai langkah mempromosikan produk di bawah Usanita Ertertainment.
Drama 30 episod itu diarahkan oleh pengarah dan pelakon popular, Erma Fatima.