editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Astro dan Nu Ideaktiv membawakan isu hangat dan terkini ke kaca televisyen menerusi program bual bicara baharu, ‘Borak SeeNI’.
Program bual bicara yang moden dan interaktif ini membincangkan pelbagai topik menarik dan bersiaran secara langsung pada setiap hari Selasa hingga Jumaat, jam 11 pagi di Astro Prima (saluran 105).
‘Borak SeeNI’ merangkumi pelbagai topik menarik seperti isu keluarga, segmen gaya hidup dan kesihatan bersama barisan pakar.
Selain itu, program ini juga akan menampilkan individu-individu yang boleh memberi inspirasi dan teladan kepada penonton melalui kisah dan pencapaian mereka yang membanggakan dalam pelbagai bidang.
Dengan penggunaan teknologi studio Extended Reality (XR) yang moden, ‘Borak SeeNI’ menawarkan visual yang lebih menarik dan terkini.
Keupayaan Realiti Tambahan (AR) yang diterapkan memberi kelebihan kepada peniaga terutamanya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka secara dinamik.

‘Borak SeeNI’ turut menekankan penyesuaian kandungan yang fleksibel serta ciri interaktif dengan melibatkan penyertaan penonton secara langsung dan memenuhi keperluan jenama dalam menawarkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan meluas.
Naib Presiden, Pembangunan Pengiklanan (Nu Ideaktiv & SME), Datin Norashikin Habibur Rahman berkata, program bual bicara secara langsung ‘Borak SeeNI’ adalah program yang memfokuskan isu semasa dan gaya hidup terkini, dipersembahkan dalam bentuk yang lebih canggih daripada segi visual iaitu penggunaan reka bentuk Extended Reality (XR) di dalam studio dan Augmented Reality (AR).
“Selain itu, program ini juga ingin membantu warga SME dalam mempromosikan produk mereka,” katanya.
Nu Ideaktiv, selaku rakan penghasil kandungan, melalui applikasi SeeNI yang melahirkan program bual bicara ‘Borak SeeNI’ mengambil 17 kandungan digital Nu Ideaktiv yang sesuai dengan format program bual bicara untuk menyampaikan maklumat meliputi semua aspek kehidupan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Nu Ideaktiv Syamil Fahim berkata, pihaknya amat teruja dengan kolaborasi program bual bicara secara langsung antara Astro dan Nu Ideaktiv ini.
“Saya percaya hasil kerjasama yang memberangsangkan daripada kedua-dua pihak dapat memastikan program ini berjalan lancar dengan jayanya.
“Selain itu, ia diharap dapat memperkasa landskap digital bagi SME untuk lebih memperkukuhkan jenama mereka,” katanya.
‘Borak SeeNI’ memaparkan gandingan pengacara yang berpengalaman dan relevan kepada pelbagai lapisan masyarakat seperti Erra Fazira, Faizal Ismail, Haziq Hussni, Nana Mahazan, Hunny Madu, Dahlia Shazwan dan Keanu Azman.
Pemilihan mereka sebagai wajah ‘Borak SeeNI’ selaras dengan objektif untuk menyasar semua lapisan masyarakat sebagai penonton utama.