27.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

MY Classic Cars santuni anak yatim sempena sambutan Hari Merdeka ke-67

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Tidak hanya menunggu sempena perayaan, syarikat korporat MY Classic Cars sentiasa giat melakukan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan berkongsi rezeki bersama anak yatim dan rumah kebajikan.

Meraikan sambutan Hari Merdeka ke-67, acara tahunan ini diteruskan lagi dengan membawa lebih 100 anak-anak yatim dari tujuh rumah kebajikan dan pertubuhan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Lebih 30 kereta antik daripada pelbagai bentuk dan tahun keluaran dibawa dan dinaiki oleh anak-anak ini.

Bertempat di Restoran Kampungku yang terletak di The Lakeview Club, program yang diberi nama ‘11th Malaysia Classic Cars Merdeka Charity Drive 2024’ itu turut memberikan sumbangan berupaya wang tunai dan barangan bernilai lebih RM3,000 untuk setiap rumah kebajikan yang terbabit.

Pengarah MY Classic Cars, Rukshan Munesinghe berkata, program ini tidak sekadar berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan malah mereka memberi peluang kepada anak-anak yatim menaiki kereka klasik atau antik yang disediakan.

“Kami tidak hanya berkongsi rezeki yang diperoleh tetapi turut berkongsi kegembiraan dengan membawa anak-anak yatim menaiki kereta antik yang ada.

“Meraikan mereka tidak hanya menunggu waktu perayaan sebaliknya bila-bila masa sahaja. Tetapi kami memilih sempena Hari Merdeka kerana ia simbolik kita meraikan kemerdekaan dan kemenangan bersama-sama,” katanya.

Rukshan berkata, sokongan daripada pemilik kereta antik juga menyebabkan program ini menjadi acara tahunan malah dia tidak menyangka sasaran sumbangan yang diterima lebih daripada jangkaan.

“Kami sangat mengalu-alukan sumbangan daripada ramai pihak untuk program ini dan rasa sangat teruja apabila sasaran kutipan melebihi jangkaan dan kami berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Antara rumah kebajikan yang terbabit kali ini ialah Pusat Jagaan Anbe Sivam dari Klang, Praise Emmanuel Children’s Home dari Petaling Jaya, Pertubuhan Rumah Amal Siraman Kasih dari Rawang, Persatuan Kebajikan Michael Selangor dari petaling Jaya, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary KL dari Setapak, Yayasan Hiichikok dari Jalan Ipoh dan Rumah Charis dari Taman Yarl.

MY Classic Cars telah ditubuhkan pada tahun 2011 dan telah berkembang pesat menjadi pengimport kereta klasik terulung dan sering menganjurkan pelbagai pameran kereta klasik di seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular