editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Memulakan kerjaya nyanyian secara serius sejak 2016, penyanyi Wany Hasrita mula diperkenalkan melalui lagu duet Memori Berkasih (versi baru) duet bersama penyanyi berasal dari Korea Selatan – Kim Dong Gyun.
Nama Wany mula terukir di hati peminat apabila lagu Menahan Rindu meledak di semua radio dan viral di laman-laman sosial sehingga melayakkan lagu ini ke Anugerah Juara Lagu 32.
Memenangi Bintang Paling Popular di ABPBH 31 – 2018 adalah pencapaian tertinggi Wany Hasrita bersama FMC Music.
Sepanjang hampir 8 tahun bersama FMC Music Wany Hasrita telah menghasilkan 10 buah lagu solo (termasuk Noktah Rindu), 10 buah lagu duet, 6 lagu Raya Aidilfitri dan 3 buah lagu duet cover termasuk Bakawali duet bersama Dato’ Jamal Abdillah.
Kejayaan melangkah ke Anugerah Juara Lagu untuk beberapa kali adalah penanda aras bahawa Wany Hasrita bukanlah artis yang datang dan pergi.
Memiliki wajah yang cantik dan keperibadian yang menarik adalah satu anugerah melengkapkan lagi pakej pemilik nama Wany Hasrita.

Namun perjuangan harus diteruskan. Sebagai penutup Kerjasama FMC Music bersama Wany Hasrita, pihak syarikat telah melancarkan single terakhirnya berjudul Noktah Rindu.
Lagu dan lirik ciptaan sepenuhnya Goufran dan Ibnu ini adalah lagu balada cinta yang pastinya akan menjadi siulan penggemar muzik lagu-lagu cinta.
CF.HO Pengarah Urusan FMC Music, CF HO berkata, Wany bermula di FMC dengan lagu cinta dan mereka melepaskannya dengan lagu cinta juga.
“Sebenarnya lagu ini sudah dirakamkan sewaktu musim Covid-19 yang lalu, tetapi kita simpan dulu kerana kita nak cuba release single genre yang berbeza.
“Kalau diikutkan tiada langsung perancangan melancarkan single terakhir bersama Wany kerana saya fikir Wany akan sambung kontrak bersama FMC Music.
“Sepanjang bersama kami tiada langsung masalah antara pihak FMC dan Wany. Semuanya berjalan dengan baik dan kami juga berharap Wany terus bersama kami.

“Namun begitu apa pun keputusan ditentukan oleh Wany sendiri dan kebetulan judul lagu Noktah Rindu seakan membayangkan hubungan rasmi kami terhenti di sini. Namun begitu pintu FMC Music sentiasa terbuka untuk Wany Kembali,” katanya.
Lagu Noktah Rindu kini telahpun dilancarkan secara rasmi di YouTube FMC Music dan seluruh laman sosial digital dan radio.
CF. HO berkata, FMC sangat yakin Noktah Rindu pasti meletop seperti lagu Menahan Rindu kerana lagu balada begini adalah genre yang paling tepat untuk Wany Hasrita.