24.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, March 8, 2026

Festival Masjid Nurul Islam rai tiga saudara baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tiada istilah derhaka terhadap keluarga sebaliknya keputusan nekad untuk memeluk agama Islam dianggap sesuatu yang perlu dihormati oleh semua orang.

Bagi Addy Azis, dia nekad memeluk Islam selepas melihat keindahan dan rasa selesa selepas lebih mendalami tentang Islam.

Addy antara tiga orang yang memeluk Islam sempena Festival Masjid Nurul Islam di Kampung Desa Pahlawan, Ampang yang dianjurkan, baru-baru ini.

Menurutnya, hasrat mahu memeluk Islam sudah lama diketahui oleh ahli keluarga namun keinginan itu semakin kuat sejak tahun 2018.

“Jika diikutkan keluarga sangat kuat dengan agama Kristian dan ayah saya adalah seorang paderi.

“Saya tahu mereka akan menentang keputusan saya ini namun begitu saya bersedia menerima apa sahaja tindakan yang mereka akan ambil dan andai dibuang keluarga saya bersedia,” katanya yang berasal dari Sabah.

Selain Addy, dua lagi yang memeluk Islam adalah Lee Mi Moi, yang sebelum ini beragama Buddha dan V Thanasegaran Thaver (Hindu).

Festival itu turut mendapat sokongan bersama Perkim Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Menampilkan pelbagai aktiviti menarik, festival itu turut menyediakan pelbagai hidangan lazat serta pelbagai aktiviti riadah yang lain.

Antaranya sukan memanah, pemeriksaan kesihatan secara percuma buat tetamu yang hadir.

Tetamu bukan Islam juga turut dibawa mengelilingi masjid untuk melihat pameran-pameran Islam serta mendengar taklimat mengenai agama Islam.

Sesi ini bertujuan untuk meluaskan ilmu dan dakwah Islam kepada bukan Islam, serta membetulkan persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan Islam.

Festival ini bukan sahaja sebagai ibadah dalam menyebarkan ilmu dan dakwah kepada bukan Islam, tetapi juga dalam membetulkan persepsi salah bahawa Islam adalah agama kekerasan.

Kemuncak Karnival pada sesi malam, forum khas Maal Hijrah bertajuk “Hijrah Menuju Hidayah” turut diadakan.

Forum ini disusuli dengan majlis pengislaman tiga saudara baharu yang diketuai oleh pengerusi masjid yang mengangkat syahadah disaksikan oleh orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular