editormaxinfo@gmail.com
TANJUNG SEDILI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menggerakkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi insiden perlanggaran kapal MT HAFNIA NILE dengan MT CERES 1 di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau pada jam 6.55 pagi, hari ini.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, berikutan insiden terbabit, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili bagi mengkoordinasikan pencarian.
Beliau berkata, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) telah mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Niah, Bot PERKASA 29 bot PETIR 12 dari Maritim Malaysia, KD GEMPITA dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot ronda PA 9 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ke lokasi kejadian untuk tindakan CARILAMAT kedua-dua kapal terbabit.

“Aset Maritim Malaysia, bot PERKASA 29 telah tiba di lokasi insiden pada jam 9.50 pagi dan menemui kedua-dua kapal terbabit.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan berkenaan insiden bagi tindakan lanjut sekiranya berlaku tumpahan minyak.
“Pegawai dan anggota yang bertugas di Abu Bakar Maritime Base (ABMB) juga diarahkan untuk melaksanakan pemantauan di sekitar kawasan berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful memaklumkan satu sidang media dijangka diadakan di Tanjung Sedili pada esok hari.
“Segala perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.