26.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 8, 2025

Tanyalah Ustaz: Akad 40 Nikahkan 20 pasangan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tanyalah Ustaz: Akad 40 menyatukan 20 pasangan asnaf dan yang kurang berkemampuan sempena ulang tahun TV3 dengan bertemakan ‘Inspirasi Generasi’ di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bermula jam 9 pagi secara berperingkat.

Seramai 40 pengantin terdiri daripada golongan asnaf, kurang berkemampuan dan mualaf yang masih menjinakkan diri untuk mempelajari tentang agama Islam telah diraikan dalam sebuah majlis akad nikah yang istimewa.

Program yang dirakam ini akan disiarkan pada 8 Jun ini, Sabtu, selama satu jam pada jam 7 malam hingga 8 malam di TV3 dan boleh di strim secara langsung dalam HD melalui aplikasi Tonton atau www.tonton.com.my.

Tanyalah Ustaz: Akad 40 menampilkan dua pengacara berwibawa Tanyalah Ustaz, iaitu Tajdid Hadhari sebagai pengacara utama dan Da’i Annas sebagai pengacara belakang pentas.

Manakala Ahmad Fedtri Yahya mengacarakan majlis resepsi pernikahan. Majlis resepsi sederhana tetapi meriah ini telah disempurnakan dengan kehadiran jemputan khas, ahli keluarga dan sahabat handai yang turut serta memeriahkan suasana. 

Majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu khas iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Senator Dato Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail yang turut serta sebagai jurunikah.

Acara pernikahan secara beramai-ramai ini adalah sebuah inisiatif TV3 yang bertujuan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam melaksanakan ibadah perkahwinan dan memudahkan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi menghadapi pelbagai cabaran seperti kos perkahwinan yang tinggi.

Ketua Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad dan juga selaku Penerbit Eksekutif Ruzmi Kamaruddin berkata, Tanyalah Ustaz: Akad 40 diadakan bersempena dengan ulang tahun TV3 tahun ini dan telah membuat perancangan dan persiapan dari awal tahun lagi.

“Bagi pihak TV3, kami amat berterima kasih kepada penaja dan juga semua yang terbabit dalam menjayakan program ini. Kami akan terus berusaha menyiarkan program dan acara yang bermanfaat kepada penonton dan masyarakat.

“Dalam masa yang menggembirakan ini, saya turut bersimpati dengan isu yang terjadi di Palestin. Kita juga perlu bantu mengikut kemampuan kita sendiri.

“Pihak TV3 ada menyediakan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan,” katanya.

Kerjasama antara TV3 dan JAWI ini mendapat kelulusan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam merealisasikan program ini.

Sementara itu, Mohd. Na’im berkata, ini adalah kolaborasi yang amat baik antara Media Prima Berhad bersama JAWI dalam menzahirkan usaha pemerkasaan kekeluargaan Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan menerusi penjagaan nasab keturunan yang disarankan oleh syarak menerusi lafaz ijab dan qabul sahnya ikatan perkahwinan suami isteri.

“Program ini adalah salah satu usaha untuk menonjolkan nilai-nilai rahmah dan kasih sayang dalam komuniti masyarakat.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berperanan untuk menyokong program pembangunan keluarga ke arah pengukuhan pembentukan masyarakat madani,” katanya.

Tanyalah Ustaz: Akad 40, ditaja oleh Efferty, susu yang diformulasikan khas untuk meningkatkan kesuburan wanita.

Tanyalah Ustaz adalah program harian yang disiarkan pada setiap pagi di TV3 dan TV9 dengan membawakan segmen-segmen yang menjadi sumber rujukan utama masyarakat Islam di Malaysia dalam mencari pencerahan tentang pelbagai aspek kehidupan Islam.

Program ini terus mendapat sambutan hangat daripada penonton setia dengan ahli panel yang terdiri daripada asatizah yang dihormati.

Tanyalah Ustaz sentiasa membawakan perbincangan inspirasi pagi terbaik kepada penonton tentang isu semasa & ilmu berasaskan agama. 

ARTIKEL BERKAITAN

Popular