editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik atau menyebarkan rakaman video nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia, hari ini.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, orang ramai yang sudah memuat naik video terbabit dinasihatkan untuk memadamkannya.
“Penghantaran komunikasi yang mempunyai ciri-ciri mengancam, menyakitkan hati atau mengganggu orang lain, adalah satu perbuatan yang dilarang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“Justeru, MCMC ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak memuat naik atau menyebarkan video insiden berkenaan bagi mengelakkan apa-apa kesalahan dilakukan di bawah AKM 1998,” katanya.
MCMC berkata, pengguna internet perlu lebih sensitif dan menghormati keluarga mangsa yang ketika ini bersedih atas tragedi yang menimpa ahli keluarga mereka.
MCMC juga menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mangsa insiden dua helikopter terbabit.
Nahas membabitkan dua helikopter TLDM bertembung ketika raptai lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada jam 9.03 pagi tadi.
Insiden itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter jenis HOM-AW139 dan Fennec yang berlepas dari Padang Sitiawan, Perak.

