28.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, November 11, 2025

Astro Studios bakal lonjak Malaysia sebagai hub kandungan serantau

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro Malaysia Holdings Bhd. berbesar hati mengumumkan anak syarikatnya, Astro Studios Sdn. Bhd. (ASSB) kini dilancarkan sebagai “Astro Studios”, iaitu satu rangkaian perkhidmatan produksi penyiaran, pasca-produksi, dan reka bentuk visual bertaraf dunia, kepada penghasil kandungan layar di Malaysia dan juga di seluruh dunia.

Astro Studios menawarkan rangkaian perkhidmatan bersepadu kepada pencerita, penerbit, dan pengarah.

Antara khidmat yang ditawarkan termasuklah teknologi terkini seperti produksi maya XR (Extended Reality) yang dikuasakan dengan “Unreal Engine”, penyelesaian video IP inovatif untuk produksi penyiaran jarak jauh yang berkualiti tinggi, dan khidmat pasca-produksi audio-visual bagi keperluan pawagam, penyiaran, dan penstriman yang dibikin dalam format Dolby Vision dan Dolby Atmos.

CEO Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, pelancaran Astro Studios menzahirkan niat Astro untuk melonjakkan industri kreatif negara ke aras yang lebih tinggi.

“Astro sememangnya sentiasa dikenali sebagai peneraju dalam teknologi, penyiaran, dan produksi, yang telah mengecapi pelbagai pencapaian penting buat negara.

“Justeru, pelancaran Astro Studios sebagai sebuah enjin pemacu untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai destinasi utama produksi kandungan di negara dan juga sebagai hub kandungan berkualiti tinggi di rantau ini adalah satu langkah yang lazim buat kami.

“Sarat dengan bakat-bakat luar biasa dalam komuniti pelbagai kaum, yang di dokong oleh teknologi bertaraf dunia, saya yakin Malaysia mampu menjadi sebuah sensasi dalam penghasilan kandungan.

“Lantaran itu, Astro Studios adalah pendorong utama dalam merangsang pertumbuhan ekonomi industri kreatif negara.

“Dengan penubuhan Astro Studios, pencipta kandungan tempatan dan antarabangsa kini dapat memanfaatkan rangkaian perkhidmatan yang sama seperti yang dinikmati oleh pasukan dalaman Astro.

“Kami percaya tawaran ini sangat menarik serta mampu memberikan mereka akses kepada pasukan yang inovatif & sebuah “1-stop-shop” yang moden pada kadar yang menarik,” katanya.

Astro Studios terdiri daripada tiga unit utama iaitu Astro Productions, Astro Sound+Vision, dan Astro Design+Motion.

Sementara itu, Ketua Astro Studios, Leon Tan berkata, setiap unit di Astro Studios menawarkan perkhidmatan premium yang meskipun unik, masih berkongsi alir kerja yang berintegrasi.

“Ini membolehkan kami berdaya cekap dalam menangani pelbagai keperluan produksi media pada hari ini.

“Pada dasarnya, Astro Studios adalah artis dan seniman yang mana hasil kerjanya merentasi rangkuman bidang produksi, pasca-produksi, dan reka bentuk.

“Kami mahu menambat dan mencipta pengalaman pembikinan media, yang menjangkaui sempadan, bahasa dan imaginasi, termasuk di layar, di pentas, di rumah dan juga di seluruh dunia,” katanya.

Pelancaran Astro Studios yang berlangsung baru-baru ini turut disaksikan oleh pelbagai pemegang taruh industri, termasuk Kementerian Komunikasi, FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), Moontoon Games, MyCreative Ventures, Iskandar Malaysia Studios, Disney+ Hotstar dan ramai lagi.

Astro Productions berupaya untuk mengendalikan produksi siaran langsung dan rakaman samada dalam studio ataupun secara jarak jauh, dengan menggunakan set studio ataupun set maya XR.

Antara produksi sedia ada yang masih berterusan adalah termasuk liputan Liga Perdana Inggeris Astro dan Liga Bola Sepak Malaysia, dan “Family Fued Malaysia” yang dibikin secara maya buat julung kali dalam sejarah 48 tahun rancangan permainan televisyen antarabangsa terbabit.

Astro Sound+Vision pula menyediakan khidmat pasca-produksi visual dan audio yang lengkap dan padu buat keperluan filem, siri, dokumentari, iklan, dan kandungan media yang lain-lain, untuk pawagam, penyiaran, dan penstriman.

Perkhidmatan ini termasuk “online edit”, “colour grading”, “full digital lab services”, “4K/HDR output”, reka bunyi, folei, kejuruteraan audio, rakaman di lokasi/studio dan adunan akhir yang dibikin lengkap dalam format Dolby Vision danDolby Atmos.

Astro Design+Motion dibarisi artis serta pereka grafik, animasi, dan persekitaran XR untuk memenuhi keperluan produksi fizikal dan maya, samada di layar atau di pentas, yang dikuasakan dengan perisian grafik “Unreal Engine”.

Antara pelanggan utama adalah termasuk Moonton Games, iaitu pengendali permainan video “Mobile Legends” yang terkemuka di Asia Tenggara.

Bagi mendalami Astro Studios dan perkhidmatannya secara menyeluruh, lawati laman web: https://studios.astro.com.my/

ARTIKEL BERKAITAN

Popular