editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan Batik Air menambah destinasi Guilin sebagai laluan ketujuh di China bermula 2 Jun ini.
Batik Air menawarkan tiga penerbangan mingguan B737-800 yang beroperasi setiap Selasa, Khamis dan Ahad dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Guilin Liangjiang (KWL) hari yang sama.
Menerusi penambahan laluan itu, Batik Air kini menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur kepada tujuh pintu masuk utama di China, menyediakan penumpang dengan lebih banyak pilihan untuk perjalanan ke semua destinasi menarik di negara berkenaan.
Syarikat penerbangan itu mengendalikan sejumlah 23 kekerapan mingguan dari KLIA ke Chengdu, Guangzhou, Haikou, Kunming, Zhangjiajie dan Zhengzhou.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, berkata Guilin menawarkan pengalaman perjalanan yang unik dengan pemandangan dan budaya yang menakjubkan.
“Sehingga hari ini, kami mengendalikan sebanyak 23 frekuensi mingguan ke enam destinasi di China. Pengembangan laluan ke China sejajar dengan tindak balas strategik kami untuk menyokong pelaksanaan daripada dasar perjalanan bebas visa selama 30 hari untuk pelancong China yang melawat Malaysia.
“Ini selaras dengan sasaran Tourism Malaysia 2024 untuk menarik antara lima hingga tujuh juta pelancong China. Batik Air merancang untuk meningkatkan lagi kekerapan penerbangan dan meneroka destinasi baharu di China pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terletak di sepanjang tebing Sungai Li, Guilin terkenal dengan batu kapur ikonik yang indah selain gunung, sungai dan tasik yang jernih, menjadikannya syurga jurugambar serta peminat alam semula jadi.
Pengunjung boleh menerokai bandar purba Daxu, mengagumi Bukit Belalai Gajah yang mengagumkan, atau terokai Gua Seruling Buluh yang mempesonakan yang dihiasi dengan formasi batuan bercahaya menakjubkan.
Sempena pelancaran laluan ini, Batik Air menawarkan tambang sehala yang merangkumi semua bermula daripada RM669 untuk kelas ekonomi dan RM1,889 untuk kelas perniagaan.
Penumpang juga boleh mengambil peluang daripada pemilihan makanan pra-beli dan elaun bagasi tambahan pada kadar diskaun.
Makanan dan minuman juga tersedia untuk pembelian di atas kapal pada semua penerbangan Batik Air.