29.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

Maritim Malaysia aktifkan semula OP Pagar Laut sempena Ramadan dan Syawal

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula OP Khas Pagar Laut di seluruh perairan negara khususnya di kawasan titik panas (hotspot) sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana (M) Datuk Hamid Mohd Amin berkata, operasi khas ini dijalankan dalam empat fasa bermula Fasa I iaitu persediaan (pengumpulan maklumat dan siap siaga aset) pada 12 hingga 17 Mac.

“Diikuti Fasa II iaitu penguatkuasaan sebelum perayaan (18 Mac hingga 1 April). Seterusnya  Fasa III merangkumi penguatkuasaan semasa perayaan (2 hingga 16 April) dan diikuti Fasa IV iaitu penguatkuasaan selepas perayaan (17 hingga 30 April).

“Operasi ini bakal membabitkan sebanyak 45 pelbagai aset milik agensi dan lebih 800 pegawai serta anggota di seluruh negara.

“OP Pagar dilaksanakan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan seperti pergerakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pencerobohan nelayan asing, penyeludupan masuk barangan kontraban seperti mercun serta penyeludupan barang-barang kawalan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, pihaknya berkata, sepanjang operasi berkenaan, Maritim Malaysia akan memperketatkan kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di perairan sempadan negara-negara jiran.

“Selain rondaan dan operasi yang dijalankan, Maritim Malaysia turut bersiap sedia mengerahkan aset milik Agensi bagi melaksanakan tugas Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) sekiranya berlaku apa-apa insiden kemalangan kapal atau bot penumpang yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut lebaran nanti,” katanya lagi.

Untuk rekod, tahun lalu Maritim Malaysia telah berjaya menumpaskan 12 kes berprofil tinggi daripada 42 kes tangkapan membabitkan cubaan menyeludup masuk rokok, pencerobohan bot nelayan asing, kemasukan PATI serta kesalahan menyeludup barang kawalan iaitu petrol dan minyak masak dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM13 juta.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular