editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Usahawan produk kecantikan terkenal tanah air, Datuk Seri Alha Alfa, bersama pelakon, Zara Zya tampil romantis dalam sebuah nukilan istimewa berbentuk lagu berjudul ‘Cinta Agung’ hasil ciptaan penyanyi dan penulis lagu berbakat, Yuka Kharisma, Senna dan Daniesh Sufian.
Lagu ini sudah pun berada dipasaran sejak 28 Disember tahun lalu. Alha mengakui gembira dan teruja atas kelahiran single duet ini.
“Alhamdulillah diatas kelahiran single duet ini bersama Zara Zya, selain dengan single ini, saya juga sedang sibuk dengan pelancaran produk terbaharu jenama Alha Alfa,” katanya.
Single Cinta Agung yang dilancarkan beberapa bulan lalu sudah pun memperoleh lebih 100,000 tontonan di YouTube.
“Syukur diatas sambutan yang amat baik oleh pendengar, rata-rata memberikan komen yang positif kerana mereka sukakan karya daripada kami berdua yang bukannya dari kalangan penyanyi profesional tetapi saya yakin lagu ini mampu memberi ketenangan dan semangat buat halwa telinga orang yang mendengarnya.
“Diantara komen yang saya terima adalah lagu ini memberi pengajaran serta semangat, terutama buat mereka yang berada dalam perhubungan untuk menyayangi serta mencintai seseorang bahawa tiada kesempurnaan dalam percintaan.
Selain single, Alha juga aktif menceburkan diri dalam bidang seni seperti nyanyian dan sekadar ingin mencuba nasib, beliau sememangnya mempunyai bakat seni yang semula jadi, apatah lagi lagu ini mempunyai maksud yang istimewa buat dirinya sendiri.

“Dalam hidup pasti akan ada orang lain yang menyayangi kita dalam diam dan tiada cinta yang sempurna melainkan cinta yang Maha Agung.
“Cinta saya kepada Zara Zya hanyalah sebagai sahabat baik kerana kami mengenali hati budi masing-masing selain menghargai bakat yang dikurniakan oleh Allah.
“Lagu ini akan kami simpan sebagai kenangan untuk masa depan kami berdua, dan mungkin dengan cara ini kami lebih menghargai hubungan persaudaraan ini.
“Saya berharap agar lebih ramai yang mendengar dan menyokong lagu ini, semoga ia memberi impak yang baik pada diri dan sentiasalah bersemangat untuk meneruskan kehidupan cinta kita semua,” katanya.
Lagu ‘Cinta Agung’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala video muzik single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Alha Alfa.

