29 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 15, 2026

Showcase Amal Artis Legenda 4.0 yang terakhir, Nizam Laksamana terkilan

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Penyanyi, Nizam Laksamana meluahkan rasa sedih dan terkilan apabila tiga sahabat baiknya yang telah meninggal dunia iaitu Ibnor Reza, Tiar Jinbara dan Gmie Screen tidak dapat bersama-sama menjayakan Showcase Amal Artis Legenda 4.0 yang bakal diadakan pada Jun depan.

Nizam berkata, pemergian ketiga-tiga rakan industri seninya itu adalah bersama dorongan dan semangat yang ketika hayat mereka dicurahkan sebagai sokongan kepadanya bagi meneruskan showcase berkenaan.

“Mereka semua adalah rakan baik saya. Kami bergelak ketawa dan berkongsi banyak kenangan bersama. Bagaimana saya tidak terkesan dengan ketiadaan mereka.

“Contohnya, arwah Ibnor, saya tahu keadaannya ketika dia sakit dan saya berada dengannya pada saat-saat terakhir hidupnya.

“Begitu juga arwah Tiar yang sempat saya mandikan jenazahnya dan Gmie yang sempat saya bertemunya sebelum arwah meninggal dunia.

“Saya rasa kehilangan yang cukup besar apabila mereka tidak bersama saya dalam showcase kali ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media Showcase Amal Artis Legenda 4.0.

Showcase berkenaan bakal berlangsung pada 1 Jun depan di Grand Ballroom, Hotel Grand Barakah, Ampang dan menampilkan barisan penyanyi popular bertaraf legenda tanah air antaranya Zamani Slam, Zarul Umbrella, Acong Sweetchild, Tam Spider, Shafie Rio, Ameng Spring, Dwen, Ady Wow, Mawi dan Wann.

Sebahagian kutipan jualan meja dan sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada Cancer Survivors Malaysia satu badan NGO yang aktif memberi bantuan kepada pesakit kanser.

Selain itu sebahagian kutipan juga akan disalurkan kepada penggiat seni dan bekas pengamal media yang kini disenaraikan seramai 20 orang.

Berkongsi mengenai kekuatannya untuk meneruskan showcase ini Nizam berkata, semangat dan keikhlasan rakan industri yang masih ada dan yang telah pergi menjadi pendorong kepadanya untuk meneruskan showcase ini sehingga edisi ke-4.

“Mereka sentiasa memberi sokongan untuk saya teruskan showcase ini. Ada yang tidak kisah tentang bayaran asalkan dapat membantu saya menjayakan showcase ini.

“Susah hendak dapat kawan-kawan begini, yang ikhlas dan miliki semangat setia kawan yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam juga telah menetapkan penganjuran showcase itu pada kali ini sebagai penglibatannya yang terakhir sebagai penganjur.

Katanya keputusan itu diambil berikutan komitmen terhadap diri sendiri dan keluarga yang perlu diberikan lebih perhatian selepas ini.

“Umur saya sudah 58 tahun. Hidup mungkin tak lama. Isteri pula masih dalam rawatan untuk pulih daripada kanser yang dihadapinya selain anak saya yang masih bersekolah.

“Oleh itu, saya putuskan edisi ini adalah yang terakhir saya anjurkan bagi membolehkan saya melakukan sesuatu yang lain untuk diri sendiri dan keluarga.

“Namun begitu, saya berharap ada pihak lain akan meneruskan showcase ini dengan nama yang lain. Pakailah konsep yang sama dan buatlah dengan bersungguh-sungguhnya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular