editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Penyanyi Lah Ahmad tampil dengan lagu terbaharu, Alhumaira yang berkonsepkan Balada R&B dan telah mendapat sentuhan sepenuhnya oleh Hafiz Hamidun.
Kali ini Hafiz Hamidun mencuba sebuah komposisi yang berbeza di dalam lagu Alhumaira, seiring dengan vokal yang menyerlah dan penghayatan yang sempurna dari Lah Ahmad.
“Ini adalah kali pertama saya berkolaborasi dengan Hafiz sebagai penerbit dan komposer untuk lagu saya.
“Walaupun kami rakan industri muzik dan beberapa kali membuat persembahan bersama, namun kerjasama kali ini sangat istimewa.
“Apabila Hafiz mengirimkan ‘demo’ Alhumaira, saya dapat merasakan kekuatan melodi lagu ini dan lagu ini sangat dekat dengan perasaan saya.
“Selepas berbincang melalui pengurusan saya dan Hafiz, kami bersetuju untuk merakamkan lagu ini. Sesi rakaman telah berlangsung pada pertengahan Oktober lalu dua minggu selepas Konsert Jatuh Cinta saya di Istana Budaya berlangsung,” kata Lah.

Lah berkata, sebagai seorang penyanyi dia akan mendalami maksud lirik yang ingin disampaikan. Selepas menghayati bait-bait lirik lagu ini, dia merasakan Alhumaira bukan sekadar lagu cinta semata-mata, tetapi adalah tentang kesyukuran dan kesetiaan seorang lelaki kepada wanita yang dicintainya.
“Saya juga seorang suami, jadi lagu ini begitu istimewa jika disampaikan untuk isteri tersayang.
“Pada saya, kelembutan seseorang wanita itu akan dikuatkan oleh janji dan setia seorang suami. Saya harap pendengar juga dapat merasakan perasaan yang sama,” katanya lagi.
Sementara itu, Hafiz berkata, ilham untuk melodi Alhumaira datang secara tidak sengaja. Selepas demo asas lagu ini selesai, dia tidak fikirkan penyanyi lain untuk menyampaikannya kecuali Lah Ahmad.
“Walaupun kesibukan Lah Ahmad dengan persembahan dan lakonan, saya rasa tidak salah jika saya mencuba melamarnya untuk menyanyikan lagu ini.
“Pada awalnya, demo lagu ini tanpa lirik yang lengkap, kecuali perkataan ‘Alhumaira’ di bahagian chorus.
“Selepas Lah bersetuju untuk menyanyikan lagu ini, saya terus mengarang lirik yang sesuai untuk ‘Alhumaira’. Alhumaira itu bermakna putih kemerah-merahan, dan melambangkan cinta dan kecantikan.
“Walaupun ia berasal dari perkataan Bahasa Arab, saya cuba mentafsirkan perkataan Alhumaira sebagai simbolik wanita yang disayangi, dicintai dan dikasihi,” katanya.