editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa parti itu tidak pernah menjadi ahli gabungan atau anggota organisasi politik liberal antarabangsa, Liberal International.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata wujud cubaan terancang pihak tertentu mengaitkan PKR dengan Liberal International.
“Saya mengesahkan bahawa PKR bukan dan tidak pernah menjadi ahli atau anggota Liberal International.
“PKR bersolidariti sepenuhnya dengan rakyat Palestin serta mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis Israel yang terus menzalimi, menekan dan membunuh rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Liberal International adalah sebuah organisasi parti politik liberal di seluruh dunia yang diasaskan di Oxford pada tahun 1947 dan telah menjadi rangkaian utama bagi parti liberal yang bertujuan untuk mengukuhkan liberalisme di seluruh dunia.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai hantaran oleh beberapa pihak yang mendakwa PKR menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa itu yang turut dipercayai ada kaitan menyokong Israel.

