editormaxinfo@gmail.com
MANCHESTER – Manchester City pastinya menyasarkan untuk mengelak daripada mengalami kekalahan kali ketiga berturut-turut di Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun apabila mereka melayan kunjungan Brighton.
Kekalahan City kepada Wolves dan Arsenal sebelum rehat antarabangsa adalah kekalahan berturut-turut pertama dalam liga untuk anak buah Pep Guardiola sejak 2018.
Sebelum itu, City juga pernah tewas tiga kali berturut-turut pada awal tahun 2016 ketika di bawah bimbingan Manuel Pellegrini.
Bagaimanapun Brighton mampu memberi ancaman kepada City, yang mencatatkan 20 kemenangan berturut-turut di tempat sendiri dalam semua pertandingan.
Guardiola pernah memuji bos Brighton, Roberto De Zerbi sebagai salah seorang pengurus paling berpengaruh sejak 20 tahun terakhir ini.
City juga dilihat meniru taktikal Seagulls yang cuba mengumpan pihak lawan untuk melakukan tekanan sebelum melakukan serangan balas dengan pantas.
Bagaimanapun, Brighton telah bergelut untuk memenuhi komitmen dalam kempen Eropah pertama kelab itu di samping saingan Liga Perdana.
Anak buah De Zerbi gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir mereka di semua pertandingan, tetapi masih kekal di tangga keenam liga.
Sementara itu, kemenangan Arsenal ke atas City dua minggu lalu meningkatkan keyakinan The Gunners bahawa mereka boleh menamatkan penantian selama 20 tahun untuk menjulang trofi EPL.
Anak buah Mikel Arteta berada di tempat kedua, di belakang pesaing utara London, Tottenham yang hanya mempunyai kelebihan perbezaan jaringan. -Agensi

