KUALA LUMPUR – Meraikan ulang tahun ke-20 tahun animasi Naruto TV Malaysia yang dinanti-nantikan peminat siri anime Naruto telah dilancarkan Pavilion Bukit Jalil pada hujung minggu lalu.
Pameran ini bagi meraikan sambutan dua dekad siri anime Naruto, dan menghimpunkan peminat siri anime tidak kira muda dan tua, dari seluruh Malaysia.
Pengasas, MMIC Entertainment Group, Datuk Brian Lim berkata, mereka sangat berterima kasih atas kasih sayang dan sokongan yang ditunjukkan oleh peminat setia animasi ini.
“Kesabaran dan semangat yang ditunjukkan oleh peminat-peminat animasi ini sepanjang pembabitan mereka dalam dunia Naruto benar-benar mengujakan saya.
“Kami tidak sabar memberikan semua rakyat Malaysia melalui pengalaman pameran ini dengan mata mereka sendiri.
“Kami mempunyai pasukan yang berdedikasi untuk memastikan peminat mempunyai masa yang seronok dan ini semua adalah hasil kerjasama rakan kongsi sokongan kami, Biz Trend Media, Sozo, I am Start Entertainment, Pavilion Bukit Jalil, dan Book My Show,” katanya.

Acara itu dilancarkan oleh Pengarah Kanan, Mohamed Amin Yahya dan Timbalan Pengarah Kanan Domestik & Acara, di Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Jeffri Munir bersama-sama barisan penganjur dan rakan kongsi.
Bersempena dengan sambutan ulangtahun ke-20 siri anime Naruto, peminat Naruto dari seluruh Malaysia hadir memakai pakaian yang mengambil inspirasi daripada watak kegemaran mereka.
Kehadiran peminat disambut oleh Kurama, Rubah Sembilan Ekor, salah satu watak paling berkuasa dalam siri berkenaan.
Selain dapat menyaksikan persembahan istimewa Wadaiko (gendang Jepun) pada acara pembukaan, peminat yang hadir juga dapat menikmati peluang untuk menjadi kumpulan yang terawal di Malaysia memasuki kawasan pameran.

Pameran ini adalah penampilan sulung Naruto di Malaysia sebagai sebahagian daripada jelajah Asianya.
Pameran kini dibuka kepada orang ramai yang berlangsung dari 7 Oktober hingga 31 Disember ini.
Menjanjikan pengembaraan yang mengasyikkan ke dunia Naruto, Pameran Ulang Tahun Ke-20 Animasi Naruto TV Malaysia menghidupkan siri anime melalui pengalaman termasuk set 3D, galeri alatan ninja, dan pengalaman VR yang menggembirakan generasi Naruto seterusnya membolehkan mereka berinteraksi dengan watak kegemaran mereka dari alam semesta Naruto dan Boruto.
Pameran ini memberi peminat peluang untuk membayangkan semula lapan adegan ikonik, menghidupkan semula semangat ninja melalui kesan cahaya dan bunyi yang menakjubkan.

Peminat juga dihiburkan dengan lawatan selama 45 minit ke 21 zon tema ikonik anime Naruto di kawasan pameran seluas 10,000 kaki persegi itu.
Tiket boleh didapati secara dalam talian atau di pintu hadapan pameran, bermula dari RM68 atau RM98 untuk pakej (Tiket Pameran + Tiket VR).

Tiket untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun boleh didapati pada harga RM28 atau RM48 untuk pakej (Tiket Pameran + Tiket VR). Harga yang tertera tidak termasuk yuran tempahan sebanyak RM4.

