editormaxinfo@gmail.com
HULU KELANG – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin utama kepada industri kreatif tanah air apabila mengumumkan pemberian Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC 2.0) Bilangan 2/2025 berjumlah RM1,128,729.74 kepada 14 buah filem tempatan yang berjaya mencatat kutipan memberangsangkan di pawagam.
Majlis penyampaian insentif itu disempurnakan oleh Dato’ Gerald Hans Isaac, Pengerusi FINAS, dalam satu acara rasmi yang berlangsung di Studio Dolby Atmos, Mix Stage, FINAS Hulu Kelang.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah ini ialah Nik Kamaruzaman Nik Husin, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, serta Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS.
Pengiktirafan ini adalah kesinambungan kepada inisiatif ITFC yang telah diperkenalkan bagi meringankan beban kos penerbitan filem cereka tempatan, di samping menggalakkan penghasilan karya-karya yang lebih berkualiti dan berdaya saing.

Pemberian insentif ini juga satu bentuk penghargaan kepada penerbit filem yang berjaya meletakkan karya mereka di pawagam tempatan, lantas menyumbang kepada pertumbuhan industri perfileman negara secara keseluruhan.
Setakat tahun ini sahaja, FINAS telah menyalurkan lebih RM1.7 juta menerusi dua fasa ITFC 2.0. Pada 22 April lalu, sebanyak RM613,702.13 telah diberikan kepada 9 filem daripada 7 syarikat penerbitan dalam pusingan pertama.
Kini, pusingan kedua menyaksikan peningkatan jumlah penerima, sekaligus mencerminkan peningkatan aktiviti penerbitan filem tempatan yang terus mendapat tempat di hati penonton dan di layar perak.
Penganugerahan ini turut dihadiri oleh beberapa tokoh penting industri kreatif termasuk Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, Ahli Perbadanan merangkap Pengerusi Skim Wajib Tayang, bersama-sama ahli-ahli Perbadanan FINAS, penggiat industri filem serta warga kerja FINAS.

Dalam ucapannya, Hans Isaac berkata, insentif seperti ITFC bukan sahaja berperanan membantu kewangan penerbit, malah berfungsi sebagai dorongan moral yang amat diperlukan dalam iklim industri yang semakin mencabar.
“FINAS akan terus komited dalam memastikan kesinambungan industri filem Malaysia.
“Kita bukan sekadar menyokong dari segi dana, tetapi turut memastikan ekosistem kreatif tempatan kekal dinamik dan relevan di peringkat serantau mahupun antarabangsa,” katanya.

Dengan penyertaan lebih ramai penerbit dan peningkatan kualiti kandungan filem, FINAS optimis bahawa insentif ini akan terus memberi impak positif kepada industri.
Ia juga diyakini dapat meningkatkan daya saing filem Malaysia di pentas global serta menarik lebih ramai penonton ke pawagam untuk menyokong karya tempatan.
Langkah berterusan ini memperlihatkan betapa seriusnya komitmen kerajaan melalui FINAS dalam merancakkan pembangunan industri perfileman negara, seiring dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kandungan kreatif utama di Asia Tenggara.






















