34.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, February 3, 2026
Home Blog Page 247

DXN angkat herba tempatan ke pasaran antarabangsa

CYBERJAYA – Pengeluar produk makanan kesihatan DXN menggunakan herba tradisonal tempatan dalam penghasilan produk keluarannya sehingga mendapat tempat ke pasaran antarabangsa.

Boleh dikatakan, semua produk DXN 90 peratus adalah dirumus daripada herba dan tumbuhan tempatan.

Pengasasnya, Datuk Lim Siow Jin berkata, sebagai contoh ialah herba yang dikenali sebagai hempedu bumi dan nama saintifiknya Andrographis.

Katanya, herba itu terkenal dalam kalangan pengamal perubatan tradisional Cina, Ayurveda dan Greek.

“Andrographis paniculata amat dikenali dan digunakan secara meluas dalam perubatan traditional.

“Oleh itu, ia dipilih untuk dirumus sebagai salah satu suplemen kesihatan dan pemakanan DXN,” katanya ketika ditemui pada sesi temubual bersama media baru-baru ini.

Beliau berkata, antara khasiat hempedu bumi ialah herba itu mengandungi komponen bioaktif (seperti andrographolide dan neoandrographolide) yang boleh membantu melegakan haba badan dan menggalakkan kesihatan respiratori.

“Sebagai contoh produk DXN Andro G digunakan untuk melegakan kepanasan dalam badan seperti produk indikasi yang diluluskan oleh NPRA (MAL 19973096T) dan mendapat keluluskan MAB (Lembaga Iklan Ubat).

Lim berkata, DXN juga menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan sebelum menghasilkan sesuatu produk bagi memastikan kualitinya.

Menerusi R&D yang dijalankan, khasiat herba berkenaan diteliti dan diperiksa bagi tujuan ramuan sebelum digunakan dalam produk DXN.

Lebih menarik lagi, herba-herba berkenaan diperoleh menerusi DXN Pharmaceutical Sdn Bhd sendiri yang mempunyai ladang di Kedah.

Lim berkata, rasa herba yang pahit seperti hempedu bumi itu mungkin menyukarkan orang ramai untuk mengamalkannya.

Justeru, DXN Andro G adalah suplemen kesihatan dan pemakanan dihasilkan dalam bentuk kapsul di mana serbuk Andro G yang dikapsulkan telah mengurangkan rasa pahit semasa pengambilannya.

“Pengguna boleh menikmati produk kami dalam bentuk kapsul yang kurang pahit pada bila-bila masa.

“Buat masa ini Andro G adalah produk kami yang mendapat sambutan begitu menggalakkan terutamanya daripada pengguna Melayu,” katanya.

Andro G antara produk kesihatan yang mendapat sambutan apabila penjualannya menyumbang 4.04 peratus daripada 1 bilion jumlah jualan keseluruhan produk DXN sejak Julai 2022 sehingga Jun 2023.

Andro G sudahpun berada dipasaran sejak 26 tahun yang lalu mendapat sambutan memberangsangkan berikutan kesedaran pengguna mengenai rahsia dan khasiatnya.

Miss SHOPhia GO meriahkan Pesta Kopi Extended 2023

KUALA LUMPUR – Atas sambutan yang begitu menggalakkan diterima pada tahun terdahulu, Pesta Kopi kini menjadi acara tahunan yang wajib diadakan sejak 2020.

Dianjurkan oleh Pesta Kopi Ventures, penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama daripada Tourism Malaysia.

Dengan tema Miss SHOPhia GO Pesta Kopi Extended 2023, acara kali ini bakal diadakan selama 3 hari bermula 29 September sehingga 1 Oktober, bertempat di Pavilion Bukit Jalil.  

Selain Tourism Malaysia sebagai Rakan Strategik Utama, program kali ini turut mendapat kerjasama Pavilion Bukit Jalil selaku Rakan Strategik Lokasi dan Mister Coffee selaku Rakan Strategik Acara.

Pengurus Besar Pesta Kopi Ventures Syahmi Pozi berkata, objektif utama penganjuranbukan sahaja untuk menyerlahkan kopi sebagai trend gaya hidup semasa, malahan memperlihatkan seni penyediaan kopi artisan sebagai salah satu peluang perniagaan yang kian menjadi pilihan ramai anak muda sekali gus mempromosikan industri kopi di Malaysia.

“Kita masih mengekalkan konsep asal Pesta Kopi seperti tahun terdahulu di mana penganjuran Miss SHOPhia Go Pesta Kopi Extended 2023 ini akan menghimpunkan 40 usahawan kopi dari Cameron Highlands, Johor Bahru, Kota Bharu, Melaka, Alor Setar, Selangor dan Kuala Lumpur yang bakal memperkenalkan produk serta menunjukkan cara dan seni penyediaan kopi masing-masing.

“Saya juga gembira dan teruja apabila Tourism Malaysia sudi menjadi rakan kerjasama dan dengan kerjasama Sabah Tourism Board dan Sarawak Tourism Board, mereka akan membawakan kopi khas dari Borneo bagi memperkenalkannya kepada pengunjung dari dalam dan luar negara yang hadir ke pesta itu nanti,” katanya pada sidang media pengumuman pesta berkenaan baru-baru ini.

Hadir sama Penolong Pengurus Besar Pemasaran, Pavilion Bukit Jalil, Stephanie Mak dan Pengarah, Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Shahrin Mokhtar.

Sementara itu, Shahrin berkata, penganjuran pesta kopi ini diharap dapat merangsang kembali pemulihan industri pelancongan sekali gus membantu kepada pemulihan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Selaku agensi yang bertanggungjawab mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, kami mengambil inisitif program ini dalam mempromosikan industri pelancongan berasaskan kopi yang sedang berkembang pesat.

“Tourism Malaysia juga akan melancarkan pakej-pakej pelancongan berasaskan kopi dengan kerjasama pengusaha pelancongan yang diberi nama ‘Miss SHOPhia Coffee Experience’ yang juga kesinambungan kepada pakej ‘Northern Malaysia Coffee Experience’ yang telah dilancarkan pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, bagi membantu usahawan-usahawan kopi di Malaysia, Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan penyedia laman sesawang “petakopi.my” dalam penyenaraian kedai kopi dan kafe yang terbabit menerusi kempen ini.

“Setakat ini, lebih 2,000 kedai kopi di seluruh Malaysia telah tersenarai di laman sesawang berkenaan dan Tourism Malaysia berharap dapat mempromosikan “coffee mapping” ini sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, pada acara Pesta Kopi yang akan berlangsung nanti, pelbagai produk kopi akan dijual, malahan mereka juga dapat melihat sendiri pelbagai cara penyediaan kopi termasuk peralatan-peralatan mampu milik yang digunakan serta boleh dipraktikkan sendiri di rumah.

Bukan itu sahaja, pengunjung turut berpeluang mendapatkan penerangan berkaitan cara memilih dan menilai biji kopi.

Selain itu, Pertandingan Barista Terpantas yang memasuki edisi kedua pada tahun ini, akan dianjurkan oleh Mister Coffee dan bakal disertai oleh pembuat kopi dari seluruh negara.

Cabaran penyediaan kopi ini menilai kebolehan peserta untuk menghasilkan kopi dengan cara yang betul mengikut kuantiti yang ditetapkan tanpa menjejaskan rasa dan isi setiap cawan.

Tahun lalu, pertandingan ini telah dimenangi oleh seorang pembuat kopi dari Kuching, Sarawak.

Suara Hidup Syafiq Abdilah, inspirasi OST K-Drama

KUALA LUMPUR – Memulakan kerjaya nyanyian di negara kelahirannya, Brunei, nama Syafiq Abdilah kini semakin menjadi sebutan di sini selepas terbabit dalam program realiti, Big Stage musim keempat, tahun lalu.

Biarpun tidak bergelar finalis, Syafiq atau nama sebenarnya Mohammad Syafiq Abdilah Soony, 24, berjaya membuka mata peminat muzik tanah air akan bakat yang dimiliki.

Dari satu sudut lain, Syafiq antara bintang baharu yang wajar diberikan perhatian.
Selepas muncul dengan single Kekal sekitar Mac lalu, Syafiq tidak menunggu lama untuk menghadiahkan buah tangan terbaharu berjudul Suara Hidup.

Syafiq berkata, Suara Hidup hasil nukilan Navigator dan Pique yang sudah dicipta sejak 2020 itu membawakan ‘vibe’ baharu dan berbeza dengan single sebelumnya.

“Suara Hidup adalah lagu yang sangat berbeza daripada Kekal. Mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini adalah betapa pentingnya seseorang itu dalam hidup kita.


“Lagu ini juga membawa ‘vibe’ yang baharu kerana ia diinspirasikan daripada lagu balada Korea dan OST K-Drama.

“Seperti lagu Kekal, saya tidak terbabit dalam poses penulisan lagu Suara Hidup. Sebenarnya, lagu ini mula dicipta pada 2020 dan pertama kali saya mendengar demo lagu ini pada tahun itu juga.

“Pada masa itu hanya bahagian korus yang sudah ditulis dan tahun lalu barulah Pique menyiapkan lagu ini bersama Navigator,” katanya.

Syafiq berkata proses rakaman lagu itu mengambil masa yang panjang kerana dia perlu memberikan sepenuh emosi.

“Lagu ini mengambil masa yang begitu panjang untuk dirakamkan. Kerana sukar untuk saya menyampaikannya dengan penuh emosi yang sesuai dengan lagu Suara Hidup ini.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada Banni Basyishar yang turut membantu semasa proses rakaman.

“Tidak dilupakan Mike Chan yang membantu memilih ‘take vocal’ yang paling sesuai untuk lagu ini,” kata Syafiq.

Berkongsi tentang video muzik (MV) Suara Hidup, Syafiq  berkata, jalan ceritanya adalah kesinambungan daripada lagu Kekal.

“MV Suara hidup adalah kesinambungan daripada MV Kekal yang menceritakan perjalanan kisah cinta pasangan yang diwatakkan oleh Hakim Parker dan Sara Mack Lubis.

“Pada penghujung MV Kekal, ia diakhiri dengan ‘clif hanger’ apabila watak Hakim melintasi Sara seperti tidak pernah berkenalan sama sekali.

“Menerusi MV Suara Hidup ini akan terangkan dan menjawab segala persoalan semua yang sudah menonton MV Kekal,” katanya.

Syafiq berkata, MV Suara Hidup turut membabitkan pasukan sama yang menjayakan MV Kekal iaitu pengarahnya Harith Zazman dan pengarah fotografi adalah Asyrafiqal.

Tidak ketinggalan Hakim dan Sara turut serta untuk menyampaikan cerita MV ini. MV Suara Hidup dirakam serentak bersama rakaman MV Kekal pada awal tahun ini dan mengambil masa dua hari di beberapa lokasi yang terpilih.

Dalam pada itu, Syafiq mengakui terdapat cabaran yang perlu dilalui sepanjang proses menghasilkan lagu dan MV.

“Ketika proses menyiapkan lagu ini sangat mencabar kerana ia adalah lagu ‘slow ballad’ pertama yang saya rakamkan dan lagu ini perlu disampaikan dengan penuh emosi.

“Bagi rakaman vokal sahaja kami mengadakan lebih daripada empat sesi dan lebih dari lima versi lagu ini. Alhamdulillah, proses rakaman MV semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Suara Hidup adalah projek JV antara Universal Music Malaysia dan 1212.

Suara Hidup boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan YouTube Music, sementara video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Demi anak-anak, Diana dan Farid bakal rujuk semula

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Pelakon Diana Danielle mengesahkan dia bakal ke mahkamah untuk rujuk semula dengan bekas suami yang juga pelakon dan pengarah, Farid Kamil.

Diana berkata, apa yang berlaku tidak seperti yang dirancangkan selepas lima bulan mereka turun naik mahkamah bagi menyelesaikan masalah rumahtangga yang berlaku.

“Kami masih dalam proses untuk mendapatkan semula keserasian bersama. Ini semua kami lakukan demi anak-anak.

“Saya sendiri tidak menyangka dengan apa yang berlaku namun berharap semuanya akan lebih baik lagi selepas ini.

“Namun begitu, kami tidaklah mahu tergesa-gesa, masih ada masa dan proses ini mengambil masa. Bukan saya tidak mahu umum perkara ini tetapi ia membabitkan proses mahkamah dan memerlukan masa,” katanya.

Diana ditemui pada Karnival Mega Suria yang berlangsung di Padang Timur Majlis Badaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

Sementara itu, Farid turut hadir menemami istetinya namun tidak boleh bercakap banyak berikutan mengalami masalah sakit tekak yang dihidapi sejak beberapa hari lalu.

Farid sempat berbisik ke telinga Diana memberitahu mereka tidak berhenti berdoa agar mendapat jalan penyelesaian terbaik berikutan kemelut rumah tangga yang dihadapi sebelum ini.

Dalam pada itu, Diana berkata, mereka kini masih dalam fasa untuk memperbaiki diri serta mencari jalan terbaik bagi rumah tangga mereka untuk masa akan datang.

“Farid kata kami tidak pernah berhenti berdoa. Kami juga tidak tahu ini pengakhirannya kerana semua telah ditentukan oleh Allah.

“Sekarang ini kami masih dalam tempoh masa mencari jalan terbaik untuk masa depan. Kami kembali membina apa yang pernah ada sebelum ini.

“Tetapi saya tidak mahu terlalu banyak bercakap tentang hal ini. Perlu ada privasi antara hubungan kami,” katanya.

Diana berkata, dia gembira kerana Farid akan terus menjadi bapa terbaik buat anak-anak mereka.

“Saya membesar tanpa kasih sayang bapa. Jadi tidak mahu anak-anak melalui perkara yang sama.

“Apa yang penting anak-anak mendapat kasih sayang seorang bapa. Itu adalah hadiah terbaik buat saya,” katanya.

Terdahulu, pada 10 Ogos lalu, pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.

Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012.

Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. 

Konsert Exists X Orkestra bukti kumpulan ini masih jadi pilihan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selama 32 tahun dalam industri menjadi bukti utuh kumpulan Exists sebagai kugiran tempatan yang berkualiti. 

Jika tidak, mustahil Exists akan kekal malah masih menjadi kegemaran pendengar pelbagai generasi sejak salam kenal di tahun 90-an sehingga 2023 menjelma.

Sehingga kini, Exists sentiasa menjadi kugiran pilihan penganjur untuk mengadakan persembahan.

Sepanjang kembara 32 tahun ini, Exists sudah merasa bermain di sekecil-kecil pentas funfair, membawa ke festival-festival muzik sehingga mempamerkan kredibiliti mereka sebagai pemuzik profesional di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas.

Belum lagi kejayaan yang diraih menerusi beberapa siri konsert dan festival yang membawa Exists bertemu peminat sehingga ke Singapura dan Indonesia.

Baru-baru ini Exists disambut baik oleh peminat Indonesia sewaktu kemunculan mereka di Festival 90’s yang diadakan di Kemayoran, Jakarta.

Semua pencapaian itu terjadi pada tahun 2023. Namun Exists masih belum mahu menutup portfolio dengan cantik dan kemas tanpa melakukan sebuah persembahan yang disifatkan paling didamba sepanjang 32 tahun berkarya.

Oleh itu, selaku penganjur, Persatuan Global Malaysia dengan bangganya mahu melengkapkan impian Exists menerusi projek bersejarah yang bakal dilaksanakan pada Disember hujung tahun ini.

Konsert Exists X Orkestra bakal diadakan di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 Disember ini.

Pengarah Program Persatuan Global Malaysia, Mohd Roslan Mohd Rafi berkata, Konsert Exists X Orkestra akan menjadi sebuah sejarah peribadi buat kugiran yang dianggotai Ajai, Ujang, Musa, Along, Mamat dan Ezad sepanjang pembabitan mereka sebagai pemuzik.

“Sudah tentu Konsert Exists pada kali ini berbeza dengan apa yang pernah dilihat dan dipersembahankan mereka sebelum ini.

“Jika sebelum ini Exists bermain sebagai sebuah kugiran tetapi untuk konsert kali ini anda buat pertama kalinya akan menjadi sebahagian daripada sejarah kerana Exists akan bergabung dengan kumpulan Orkestra.

“Kami selaku penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada Exists dan Orkestra kerana menyambut baik proposal kami lalu menjadikan ia sebuah kenyataan,” katanya.

Buat Exists sendiri, bergabung ‘permainan’ dengan pemuzik orkestra yang hebat memang sudah menjadi impian sekian lama.

Namun mereka menunggu waktu yang sesuai untuk menghasilkan sebuah persembahan kolaborasi apa lagi dengan kumpulan pemuzik orkestra.

“Tanyalah kepada mana-mana band, kugiran atau pemuzik, salah satu impian tentang dunia kami ini adalah melakukan persembahan konsert atau bergabung dengan orkestra.

“Kami fikir sudah banyak persembahan skala kecil kepada skala besar, dengan usia 32 tahun Exists, ini adalah masa yang sesuai untuk kami berkolaborasi dengan orkestra.

“Exists sendiri tidak sabar untuk mencipta sejarah ini secara peribadi buat setiap anggota yang sudah berkelana sangat jauh dari usia remaja sehingga sekarang.

“Apapun terima kasih yang sebesarnya mahu kami sampaikan kepada peminat kerana jika tanpa sokongan dan kepercayaan bahawa Exists masih relevan dan perlu terus hidup dalam industri ini, mungkin Exists tidak akan wujud lagi,” ujar Along.

Dengan pengumuman yang dibuat, jangan terlepas untuk menjadi saksi nyata dan sebahagian daripada sejarah yang bakal dicetak di Konsert Exists x Orkestra pada 22 Disember 2023 di Megastar Arena Kuala Lumpur.

Tiket-tiket berharga bermula RM 568, RM 468, RM 368, RM 268 dan RM 168 dan boleh dibeli menerusi laman sesawang Www.MyTicket.Asia. 

Gendang Pati M Nasir, kali ini di Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ini bukan sembarangan ‘gendang’. ‘Gendang’ yang satu ini auranya sejak dahulu dan sampai bila pun tetap sakti yang tidak akan tergoyah.

Lewat persembahan yang digelar Gendang Pati, figura penuh sakti ini mahu menjadikan ia sebuah pesta rakyat yang mengisi bukan sahaja kegembiraan luaran tapi diikuti jiwa sekali.

Malam itu nanti ‘roh’ dan jiwa jiwa segenap pelusuk dewan plenary bertebaran kegembiraan, berbahagia menyambut lalu meraikan pesta muzik yang bakal dipersembahkan oleh sang legenda, sang meastro dan sang sifu nan tiada gantinya, Datuk M Nasir.

Keraian muzik yang mengisi seluruh kecanduan pesta Gendang Pati yang telah memberi kesan saat dipersembahkan tempoh hari di Singapura kini mahu dikongsi dan diserapkan ke dalam jiwa sekalian penggemarnya di Kuala Lumpur.

Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur begitu nama persembahan yang bakal menyapa penggemar di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 18 November depan, bermula jam 8 malam.

Percayalah tidak pernah ada yang sederhana dalam pesta dari sang M Nasir yang selalu berjaya mengajak jiwa menyanyi dan menari di sepanjang pesta.

Di pesta Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur yang dibawakan oleh MND Sport & Event Sdn Bhd, M Nasir tidak perlu menjanjikan persembahan yang spektakular atau luar biasa.

Bagi M Nasir, Gendang Pati diadakan versi Kuala Lumpur kerana sedar kecintaan dan kecanduan penggemar yang sentiasa mahu melihat dia beraksi di atas pentas sebagai sebuah lambang kelangsungan kariernya yang sentiasa ‘hidup’ tak lapuk dek zaman.

“Saya perlu bersyukur kerana meskipun sudah melakukan banyak persembahan pentas, masih seorang M Nasir sentiasa ingin disapa, ditonton dan diminta mendendangkan karya yang ada secara langsung.

“Ini bukan tentang saya seorang tapi indikasi sihat industri muzik dan perkembangannya yang sentiasa positif.

“Pastinya, malam itu nanti akan dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang akan membuatkan semua berdendang bergoyang.

“Saya harap Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur akan menjadi sebuah lagi persembahan saya di tahun ini yang mampu membantu mengisi kecanduan semua terhadap karya saya,” katanya.

Sementara itu, wakil MND Sport & Event Sdn Bhd, Daniel berkata, nama M Nasir sendiri sudah merangkumi seluruh perkara seni yang luar biasa dan hebat.

“Kami di MND Sport & Event Sdn Bhd percaya dengan kemampuan penghibur yang satu ini. Beliau telah membawa roh yang kuat terhadap karya yang dilahirkan sejak berzaman dan mendendangkan ia dalam Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur ibarat kerja seni yang akan mengalir dengan lancar dan semula jadi,” katanya.

Konsert kali ini akan dibarisi pemuzik-pemuzik hebat yang menjadi tulang belakang M Nasir iaitu pengarah muzik dan pemain gitar- Nan Alias, gitar rhythm- Rafi Mohd, bass- Norman, keyboard-Firdaus Mahmud dan Eddie Slam, dram- Ujang Exists serta penyanyi latar vokal- Eja, Widy, Yuaz & Awe.

Ia turut dikuatkan lagi dengan kehadiran pemain perkusi utama- Paang, perkusi tradisional- Mat Din, pemain perkusi – Che Long dan Anas.

Juga ditambah dengan kemunculan Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.

Selain mempersembahkan M Nasir, pesta muzik ini akan diterbitkan oleh Roman Abadi Sdn Bhd yang pastinya memperkuatkan Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur bakal mempersembahkan sebuah konsert yang menusuk jiwa dan meninggalkan momen istimewa pada malam itu nanti.

Untuk menyaksikan Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur, tiket dengan beberapa kategori harga boleh didapati di laman web MyTicket.Asia.

Tiket-tiket berharga RM228 (Bronze), RM258 (Silver), RM388 (Gold), RM428 (Platinum), RM488 (Diamond) dan RM888 (Meet & Greet).

Selain di MyTicket.Asia, tiket boleh dibeli di support@myticket.asia atau hubungi talian hotline 03 8605 0195. 

TAPAUfest kembali ke Lenggong, indie bertemu keindahan alam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan menarik kira-kira 3000 pengunjung pada tahun lalu, TAPAUfest kembali lagi dan akan berlangsung pada 7 dan 8 Oktober ini di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak.

Berlatarbelakangkan tasik yang indah dan gunung-ganang, TAPAUfest menjemput komuniti indie Asia Tenggara untuk #LepakLenggong bersama artis indie ternama dan berpotensi dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand dengan tema #SerumpunBerpesta.

Pengarah Kreatif TAPAUasia Sdn Bhd, Ahmad Faris berkata, bermula dengan taksub mahu menjadikan festival ini lebih besar setiap tahun, mereka mengambil keputusan untuk memberi lebih perhatian kepada butiran-butiran kecil terutamanya dalam kurasi bagi membawakan komuniti indie dan rakyat Lenggong terbabit sama.

“Tahun ini TAPAUfest memberi penghormatan kepada wanita yang membentuk ‘scene’ ini.

“Ini dapat dilihat melalui kerjasama mereka dengan Newruul, seniman muda di sebalik rekaan poster dan ‘merchandise’ rasmi, sementara barisan di PENTAS (pentas muzik) pula menampilkan ramai bakat wanita yang sedang menempa nama,” katanya.

Persembahan hari pertama akan dimulakan dengan kugiran ‘Midwest Emo’, Mascot yang menawarkan aksi bertenaga serta agresif dengan lirik terapeutik sebelum diteruskan oleh kumpulan reggae dub eksperimental asal Indonesia, Rub Of Rub, sekaligus melengkapkan nuansa mempesonakan kala matahari terbenam.

Membuka persembahan malam adalah duo elektronik Wobbebong. Bersenjatakan tenaga dan semangat ingin mencuba, gadis-gadis ini pasti akan membawa keseronokan dengan sentuhan eksentrik dalam set mereka.

Persembahan diteruskan dengan kugiran legenda dari Singapura, Force Vomit yang baru menyambut ulang tahun ke-20 album kedua mereka, ‘Give It Up For The Trustfund Rockers’ dalam bentuk vinil.

Berbekalkan bunyian ‘Garage Surf’, mereka pastinya tidak sabar untuk menghidupkan kembali kisah cinta dengan komuniti peminat indie Malaysia.

Kumpulan Rock n’ Roll Jemson kemudian akan mengambil alih pentas dengan memberi penghormatan kepada era keemasan ‘rock kapak’ Malaysia sambil menyuntikkan bunyi moden dan elemen humor mereka yang tersendiri.

Menutup tirai hari pertama adalah penyanyi muda Indonesia, Nadin Amizah yang kian memenangi hati jutaan peminat terutamanya dari Indonesia dan Malaysia.

Dengan karya terbaharunya “Rayuan Perempuan Gila” dan “Semuanya Dirayakan” mendapat sambutan hangat, persembahan Nadin berlatarkan tasik nanti pastinya menjanjikan pengalaman yang cukup istimewa.

Persembahan hari kedua dimulakan antara kugiran Indonesia yang menarik perhatian pada masa kini, The Jansen.

Dikenali sebagai kugiran punk mid-tempo era 70-an dari Bogor, kumpulan ini meledak selepas keluaran album mereka, ‘Banal Semakin Binal’ tahun lalu.

Seterusnya, ‘Local Thrash Heroes’ dari Ipoh, Muck akan naik ke pentas sebagai penghormatan kepada wira tempatan.

Ditubuhkan pada tahun 1994, band ini dianggap sebagai salah satu perintis ranah indie Malaysia.

Door Plant bakal melakar sejarah sebagai kugiran pertama dari Thailand yang menghiasi pentas TAPAUfest dengan membawa irama lepak dan santai ke Malaysia yang menjadi salah satu destinasi kembara ‘Tournament’ mereka.

Dengan membawakan genre neo-folk, Bayangan yang biasanya bergerak secara solo, kini ditemani kugiran lengkap yang pasti membawa persembahan yang memukau.

PENTAS diteruskan dengan penanda generasi masa kini dari Indonesia iaitu Lomba Sihir.

Pengunjung sudah tentu tidak mahu melepaskan peluang merayakan karya mereka dengan menari, tersenyum sambil hanyut bersama dalam karya cinta-benci di kota ia membesar serta tumbuh.

Artis yang akan mengakhiri persembahan TAPAUfest tahun ini adalah anak kelahiran Borneo yang menjadi perintis awal dalam pergerakan muzik indie.

Pada tahun 2009, single hitsnya “Kantoi” dan “Bitter Heart” membawanya jauh sehingga ke peringkat antarabangsa.

Pernah tampil di NPR Music Tiny Desk Concerts pada 2020, kemunculan Zee Avi dengan lagu-lagu melankolik adalah cara paling indah untuk melabuhkan tirai TAPAUfest 2023.

Persembahan muzik di PENTAS hanya akan bermula pada jam 5 petang bagi memberikan masa kepada pengunjung festival untuk meneroka keajaiban Lenggong yang penuh dengan keindahan alam serta destinasi makan dan minum.

Pengunjung juga boleh berteduh dari matahari sambil belajar dan berkongsi pengetahuan di BENGKEL atau terokai karya pembikin filem indie di LAYAR yang dikurasi dengan kerjasama Kaki Seni.

Pengunjung boleh menghilangkan dahaga dan mengisi perut dengan sajian Malaysia terbaik dihidangkan oleh peniaga dari Lenggong dan ‘foodtruck’ dari seluruh Malaysia di WARUNG.

Bagi mereka yang suka membeli-belah atau mengumpul rekod, ‘merchandise’ atau karya seni, PASAR menghimpunkan karya artis dan jenama indie sambil dihiburkan oleh DJ di pentas mini.

Satu perkara yang membezakan TAPAUfest daripada festival seni lain adalah peluang untuk berkhemah selama dua malam di Resort Tasik Raban dan merasai sepenuhnya pengalaman di Lenggong.

Pengunjung boleh menempah tapak khemah di Santuy Campsite dan sertai sesi unggun api dan persembahan akustik atau buat mereka yang inginkan pengalaman lebih minimal boleh mengikat ‘hammock’ di antara dahan pokok menerusi Outsiders Campout.

TAPAUfest 2023 adalah pengalaman festival oleh TAPAUasia dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong, Ipoh Social Club, Verssusika serta rakan rasmi Vans, Yoodo, Batik Air, Era, Gempak dan Syok.

Sebarang pertanyaan untuk tiket dan maklumat lanjut layari www.TAPAUfest.asia atau ikuti @TAPAUfest.