editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – SAH Entertainment terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik dengan melancarkan kolaborasi eksklusif bersama Universal Music Malaysia.
Kerjasama ini akan menyaksikan penganjuran tiga konsert mega membabitkan artis-artis popular tanah air seperti Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks, yang akan membawa muzik tempatan ke pentas yang lebih besar, termasuk di Singapura.
Penganjur utama konsert-konsert ini, Sufi Rashid berkata, inisiatif ini adalah langkah strategik untuk memberikan lebih banyak peluang kepada artis berbakat menyerlah di pentas antarabangsa.
“SAH Entertainment berbesar hati untuk membawa nama-nama besar seperti Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks ke pasaran yang lebih luas.
“Kerjasama ini juga menjadi pemangkin untuk mengangkat martabat seni suara negara,” katanya.

Jadual Konsert SAH Entertainment 2025:
31 Mei 2025 – Ernie Zakri Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
Ogos 2025 – DOLLA Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
12 Julai 2025 – Insomniacks Live in Kuala Lumpur (Zepp Kuala Lumpur)
November 2025 – Insomniacks Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
Dengan memilih venue ikonik seperti Capitol Theatre di Singapura dan Zepp Kuala Lumpur, SAH Entertainment memastikan setiap konsert menawarkan pengalaman muzik yang luar biasa dengan suasana eksklusif dan teknologi audio serta visual yang canggih.
“Kami berharap kerjasama ini akan berterusan untuk memberikan lebih banyak peluang kepada artis berbakat beraksi di pentas yang lebih besar,” tambah Sufi lagi
Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, kerjasama ini memberi tumpuan untuk mengembangkan bakat-bakat seperti Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks, dan membawa mereka ke pasaran muzik serantau.

“Dengan rekod prestasi yang baik oleh SAH Entertainment dalam menganjurkan konsert-konsert baru-baru ini, termasuk konsert solo sold-out Ernie Zakri di Kuala Lumpur, kami yakin gandingan kedua-dua pihak akan mencipta platform luar biasa untuk ketiga-tiga artis ini,” kata Kim.
Ernie Zakri, yang baru sahaja mengadakan Konsert Aura di Kuala Lumpur pada Januari lalu, mengungkapkan keterujaannya untuk mengadakan konsert solo pertama di Singapura pada Mei nanti.
“Saya teruja kerana konsert ini akan menjadi sangat meriah. Orang di Singapura memberikan sokongan yang luar biasa, dan saya tidak sabar untuk bernyanyi di sana,” katanya.
Bagi DOLLA, mereka turut berkongsi kegembiraan mengenai konsert solo pertama di Singapura.
“Ini adalah impian kami sejak sekian lama. Kami janji akan memberikan persembahan terbaik dan menjadikan malam itu satu kenangan yang tidak akan dilupakan,” kata Angel dan Tabby.
Insomniacks juga tidak ketinggalan, menyifatkan konsert ini sebagai pencapaian besar.

“Tahun 2025 sangat bermakna kerana kami akhirnya berpeluang mengadakan konsert besar di Kuala Lumpur dan Singapura.
“Kami sangat berterima kasih kepada semua peminat yang telah menyokong kami,” kata kumpulan ini.
Peminat boleh mengikuti laman media sosial rasmi SAH Entertainment untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai konsert dan pembelian tiket.
Dengan kolaborasi hebat ini, SAH Entertainment dan Universal Music Malaysia pasti akan terus mencipta gelombang besar dalam industri muzik tempatan dan serantau.

