editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Hitman Solutions, bekerjasama dengan penganjur dari Australia, Cinestar Events membawakan penyanyi ‘playback’ terkenal Bollywood, Arijit Singh dalam konsert istimewa ‘Arijit Singh Live In Malaysia’ pada 16 November ini di Axiata Arena Bukit Jalil.
“Ini adalah kali ketiga Arijit Singh datang ke Malaysia untuk membuat persembahan setelah hampir 10 tahun, di mana konsert terakhirnya diadakan pada tahun 2014 yang lalu di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre dengan sambutan yang luar biasa.

“Ramai peminat dari seluruh dunia terutamanya di Malaysia yang menantikan kepulangan beliau sejak sekian lama, dan saya jangkakan konsert kali ini pasti menjadi sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group Rohit Rampal.
Cinestar Events adalah penganjur konsert Bollywood terkemuka di Australia, terkenal dengan kemahiran mereka dalam menganjurkan acara spektakular yang menampilkan nama-nama besar dalam industri hiburan Bollywood.
Dengan pengalaman lebih daripada 17 tahun dan lebih 100 pertunjukan, senarai acara mereka termasuk bintang-bintang Bollywood seperti Salman Khan, Sonakshi Sinha, dan ramai lagi.
Sementara itu, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Cinestar Events Yogesh Sharma berkata, Cinestar Events berjaya menganjurkan lebih daripada seratus acara Bollywood di Australia dan mereka komited untuk membawa keajaiban Bollywood ke kawasan baru.
“Bekerjasama dengan Hitman Solutions, yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam penganjuran acara Bollywood di Malaysia, membuktikan dedikasi kami untuk mencipta acara yang akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Bersama-sama, kami teruja untuk menggabungkan kepakaran dan semangat kami untuk menghasilkan konsert Bollywood paling spektakular di Malaysia setakat ini,” katanya.
Peminat-peminat filem hit Bollywood seperti ‘Dilwale’, ‘Brahmastra’ dan ‘Jawan’ pasti kenal dengan suara penyanyi lelaki kegemaran mereka melalui lagu ‘Janam Janam’, ‘Kesariya’, ‘Chaleya’ dan banyak lagi kini berpeluang mendengarnya secara langsung.
Berita terkini melalui petikan beberapa berita atas talian mengatakan bahawa Arijit Singh diiktiraf sebagai artis yang mempunyai paling ramai pengikut secara global di Spotify mengalahkan artis antarabangsa seperti Taylor Swift, Ed Sheeran dan Drake.

“Konsert kali ini bakal menjadi konsert Bollywood terbesar di Malaysia buat tahun 2024, dengan menampilkan lagu-lagu klasik dan popular daripada Arijit Singh sejak sedekad lalu.
“Kami ingin memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati setiap aspek konsert ini dari muzik sehingga ke produksi pementasan.
“Kami berharap kesemua peminat Arijit Singh bersedia untuk memenuhi setiap ruangan Axiata Arena demi menyaksikan artis fenomena Bollywood ini buat sekian kalinya dengan himpunan lagu-lagu terbaharunya di lokasi yang lebih besar, dan kami janjikan persembahan yang bertenaga dengan pengalaman yang istimewa,” kata Rohit lagi.
Tiket kini sudah pun dijual di laman web www.hitmanlive.com, dan tiket-tiket tersedia dalam kategori: Silver (RM298), Gold (RM398), Platinum (RM598), Diamond (RM698), VIP (RM788), VVIP (RM988) dan MIP (RM1,188).
Sebarang pertanyaan mengenai konsert ini boleh hubungi 012-2655783.

