editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Pasti ramai tahu akan kisah Datuk Ustaz Kazim Elias yang dikatakan terkena penyakit misteri bertahun-tahun lamanya.
Pelbagai kejadian aneh dilalui malah sehingga kini Ustaz Kazim dikatakan masih susah untuk tidur malam.
Filem Zim Zim Ala Kazim mengangkat kisah dan suka duka yang dilalui oleh Ustaz Kazim selama melalui derita dan sengsara akibat perbuatan jahat manusia.
Diterbitkan oleh Mawi World Entertainment Zim Zim Ala Kazim dilakonkan sendiri oleh Ustaz Kazim.
Boleh dikatakan hampir 80 peratus jalan cerita dalam filem ini adalah kisah sebenar ustaz sendiri.
Selaku penerbit dan pengarah, Mawi berkata, idea untuk menghasilkan filem ini bermula selepas perjumpaan dengan dengan Ustaz Kazim sendiri.

“Ketika berjumpa kami berborak dan beliau telah berkongsi kisah penyakit misteri yang dialaminya selama ini.
“Bagaikan satu kisah mistik dan sebenarnya apa yang dilalui Ustaz Kazim itu, saya juga pernah melalui keadaan yang lebih kurang sama,” katanya.
Mawi berkata, selepas perkongsian kisah itu dia terfikir untuk menghasilkan dalam bentuk skrin dan akhirnya meminta kebenaran untuk menghasilkan sebuah filem yang mengangkat cerita pengalaman yang dilalui oleh pendakwah itu.
Katanya, dia lega apabila Ustaz Kazim turut memberikan persetujuan bagi menghasilkan filem ini.
“Tidak sukar untuk saya meyakinkan beliau. Pada perjumpaan kali kedua, ustaz ceritakan lebih mendalam dan perjumpaan kali ketiga saya turut membawa penulis skrip bersama.
“Mengenai jalan cerita pula, kira-kira 70-80 peratus adalah kisah benar yang dipaparkan. Selebihnya saya ada tokok tambah untuk pastikan penceritaannya lebih menarik,” katanya.
Zim Zim Ala Kazim mengisahkan tentang sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal dibintangi oleh barisan pelakon seperti Bell Ngasri, Anas Tahir dan Shanthesh Kumar selaku teraju utama.
Selain Ustaz Kazim sebagai watak utama, Mawi sendiri turut berlakon dalam naskhah baharunya itu.
Dalam pada itu, Mawi tidak menafikan pendakwah berkenaan ada meletakkan syarat jika mahu kisahnya itu diangkat menjadi filem.
“Syarat paling utama Ustaz Kazim sendiri mahu menjadi ‘hero’. Pada awalnya, saya sudah ada pilihan untuk pegang watak beliau.
“Namun, beliau sendiri mahu lakonkan watak dirinya. Memang agak terkejut juga, namun saya kagum dengan keberaniannya untuk berlakon dalam filem ini,” katanya.
Berkongsi tentang pembikinan filem berkenaan, Mawi berkata, filem itu melakukan penggambaran sekitar dua tahun lalu selama 15 hari di kawasan sekitar rumah Ustaz Kazim sendiri di Kampung Manjoi, Perak.

Katanya, sepanjang penggambaran semuanya berjalan lancar, namun mengakui ada berlaku beberapa kejadian mistik.
“Ada satu masa itu ketika hendak memulakan penggambaran, tiba-tiba penyakit Ustaz Kazim menyerang semula.
“Sehinggakan kulitnya ada keluar darah. Apa pun situasi berkenaan dapat diatasi dengan baik.
“Saya berharap penonton terhibur dan dapat menerima apa yang ingin disampaikannya.
“Mungkin ada yang suka atau sebaliknya, tetapi sebagai seorang pembikin filem, saya sedia menerima sebarang kritikan dan sudah biasa melaluinya.
“Untuk hasilkan filem ini bukanlah mudah, tambahan pula saya bertindak sebagai penerbit, pelakon dan pengarah.
“Dengan bajet hanya RM600,000 saya berharap tidak ada yang meletakkan harapan terlalu tinggi untuk melihat filem ini menepati cita rasa mereka, apa yang penting semua terhibur,” katanya.
Filem Zim Zim Ala Kazim sudahpun menemui penonton di pawagam seluruh negara sejak 13 Jun lalu.

