editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan bakal menerima sebuah lagi naskhah romantik komedi menarik menerusi filem Kata Hati, karya terbaharu yang mengetengahkan kisah cinta moden dengan sentuhan emosi, humor dan realiti kehidupan selebriti masa kini.
Filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn. Bhd. itu dilihat membawa pendekatan berbeza apabila menggabungkan elemen percintaan ringan bersama sisi manusiawi dunia glamor yang jarang diketengahkan secara mendalam dalam filem tempatan.
Diarahkan oleh Nadiah Hamzah, Kata Hati bukan sekadar memaparkan kisah cinta biasa, sebaliknya membawa penonton menyelami kehidupan seorang selebriti wanita popular yang terperangkap antara tekanan dunia hiburan, populariti dan pencarian kebahagiaan sebenar.

Mengangkat tema cinta moden yang dekat dengan realiti masyarakat hari ini, filem berkenaan mengisahkan hubungan luar biasa antara seorang pelakon terkenal dan pemandu e-hailing yang hadir dalam hidupnya ketika berada di titik paling sukar.
Penerbitnya, Muhammad Bahir berkata, idea menghasilkan Kata Hati tercetus hasil pengalamannya sepanjang berada dalam industri hiburan dan berpeluang mengenali ramai selebriti tanah air.
Menurut beliau, terdapat perbezaan besar antara imej yang dipaparkan selebriti di hadapan kamera dengan kehidupan sebenar mereka di sebalik dunia glamor.

“Kami mahu menghasilkan sebuah kisah yang memperlihatkan sisi sebenar kehidupan seorang selebriti dan dalam masa sama disulami dengan jalan cerita yang mampu menghiburkan penonton,” katanya.
Filem itu menampilkan gabungan pelakon muda yang semakin meningkat naik seperti Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris sebagai teraju utama, selain diperkuatkan dengan kehadiran Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman.
Turut mencuri perhatian ialah penampilan cameo beberapa pelakon terkenal tanah air termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon yang memberikan warna tersendiri kepada keseluruhan penceritaan.

Sementara itu, penerbit eksekutifnya, Juliana Foo berkata, penerbitan filem romantik komedi seperti Kata Hati dilihat tepat pada masanya memandangkan penonton kini terlalu banyak disajikan dengan filem aksi dan seram.
Menurut beliau, masih ramai penonton yang merindui karya cinta ringan yang mampu memberikan hiburan santai namun sarat dengan emosi.
“Kata Hati hadir sebagai sebuah filem ‘modern fairy tale’ dengan elemen ‘high-stakes romance’ yang menawarkan pengalaman indah dan tersendiri buat penonton di pawagam nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Nadiah Hamzah berkata, filem berkenaan menjanjikan pelbagai emosi menerusi gabungan humor, drama dan momen romantik yang disusun dalam penceritaan moden serta dekat dengan penonton.

Beliau berkata, selepas menghasilkan filem berintensiti berat seperti Motif, beliau mahu tampil dengan sebuah karya cinta ringan yang mampu membuat penonton ketawa dan menangis dalam masa sama.
“Berkenaan pemilihan pelakon pula, Nia, Yusof dan Fazziq dipilih menerusi sesi uji bakat dan walaupun mereka masih baharu dalam dunia layar perak, kesungguhan serta komitmen mereka memang sangat mengagumkan,” katanya.
Menurut Nadiah lagi, beliau berharap penonton dapat merasai sendiri kejujuran dan keindahan kisah cinta yang cuba disampaikan menerusi filem berkenaan.
“Apa yang boleh saya katakan, filem ini bakal menyentuh emosi penonton melalui tangisan dan gelak ketawa, selain mengingatkan kita semua tentang kemanisan bercinta,” katanya.
Dari sudut penceritaan, Kata Hati mengisahkan Ayra Natasha lakonan Nia Atasha, seorang pelakon wanita yang sedang meningkat popular selepas membintangi sebuah filem aksi bersama teman lelakinya yang juga pelakon terkenal, Zayn Mikhail lakonan Fazziq Muqris.
Namun, kehidupannya mula berubah selepas terbabit dalam satu insiden memalukan yang tular ketika malam pencalonan sebuah anugerah berprestij.
Dalam keadaan emosinya yang semakin tertekan, Ayra bertemu dengan Imran Firdaus lakonan Yusof Hashim, seorang pemandu e-hailing yang langsung tidak terpengaruh dengan dunia glamor selebriti.
Pertemuan itu akhirnya membuka lembaran baharu dalam hidup Ayra apabila Imran bersetuju menjadi pemandu peribadinya atas permintaan Maya lakonan Scha Alyahya yang juga kakak serta pengurus kepada pelakon wanita itu.

Selain jalan cerita yang menyentuh emosi, Kata Hati turut mendapat perhatian kerana berjaya menampilkan keseimbangan antara elemen humor dan drama tanpa menjadikan filem terbabit terlalu berat atau melodramatik.
Kekuatan filem ini juga terletak pada keserasian antara Nia Atasha dan Yusof Hashim yang berjaya menjadikan hubungan dua watak utama itu tampak natural serta mudah disenangi penonton.
Gaya visual moden bersama latar kota Kuala Lumpur turut memberikan sentuhan urban yang sesuai dengan tema cinta kontemporari yang dibawa filem berkenaan.
Kata Hati dilihat sebagai sebuah filem romantik komedi tempatan yang ringan, menghiburkan dan sarat emosi, sekali gus berpotensi menjadi antara naskhah cinta moden yang mendapat perhatian penonton tahun ini.
Penggambaran filem dijalankan sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan pada Ogos 2025 dan filem Kata Hati dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026.

