editormaxinfo@gmail.com
BANTING – Sambutan Aidiladha tahun ini kian meriah apabila Tayyib Ranch menganjurkan Karnival Qurban Tayyib Ranch 2026 yang berlangsung di Tayyib Ranch Feedlot, Banting, dengan penglibatan sebanyak 200 ekor lembu termasuk lebih 10 ekor lembu sado bagi ibadah korban dan program kebajikan masyarakat.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 27 Mei hingga 28 Mei 2026 itu bukan sahaja menjadi platform pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha, malah turut menghimpunkan masyarakat setempat, sukarelawan, peserta korban serta pengunjung dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat kebersamaan.
Aktiviti korban pada hari pertama berlangsung kira-kira jam 9 pagi sehingga 12 malam, manakala hari kedua akan bermula seawal jam 6 pagi hingga 12 malam.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai aktiviti komuniti dan jamuan percuma turut disediakan kepada orang ramai yang hadir.

Pengarah Urusan Kumpulan Tayyib Ranch Sdn Bhd, Dr Lui Sze Chiang berkata, sambutan terhadap program korban tahun ini amat menggalakkan dengan peningkatan permintaan khususnya bagi kategori lembu sado.
Menurut beliau, pada tahun lalu pihaknya berjaya menjual sekitar 15 ekor lembu sado, namun jumlah itu meningkat hampir 20 ekor pada tahun ini, sekali gus menunjukkan peningkatan minat masyarakat terhadap baka premium untuk ibadah korban.
Beliau berkata, Tayyib Ranch kini memiliki lebih daripada 15 baka lembu termasuk baka terkenal seperti Limousin, Charolais dan Brahman yang menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia.
Selain itu, pihaknya turut memelihara beberapa baka premium dan jarang ditemui di negara ini seperti Wagyu Cross, Black Angus, Blonde d’Aquitaine, Indo-Brazil serta Beefmaster.

“Untuk pasaran Malaysia, baka yang paling popular masih lagi Limousin dan Charolais kerana saiz serta kualiti dagingnya yang baik untuk ibadah korban,” katanya ketika ditemui sempena program itu.
Tambah beliau, keseluruhan proses penyembelihan dan pemprosesan dikendalikan secara sistematik dengan pembahagian pasukan khas membabitkan penyembelihan, pemotongan, pembungkusan dan logistik bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang program berlangsung.
Menurutnya lagi, lebih 150 hingga 200 petugas dan sukarelawan terbabit sepanjang karnival berlangsung termasuk penduduk kampung sekitar Banting yang saban tahun membantu menjayakan program korban anjuran Tayyib Ranch.

“Setiap pasukan mempunyai tugasan tersendiri. Ada pasukan penyembelihan, pasukan melapah, pemotongan dan pembungkusan.
“Sambutan masyarakat setempat juga sangat baik kerana ramai sukarelawan daripada kampung sekitar turut membantu operasi korban,” katanya.
Dalam masa sama, sebanyak 1,000 pek daging korban akan diagihkan setiap hari kepada pengunjung secara percuma di tapak karnival bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam berdasarkan konsep “first come, first served”.

Selain agihan kepada pengunjung, Tayyib Ranch turut menyediakan antara 5,000 hingga 6,000 pek daging korban amal untuk diedarkan kepada masyarakat di beberapa kawasan termasuk Banting, Kuala Selangor, Hulu Langat, Klang, Kapar, Kuala Lumpur, Seremban, Rembau dan Kuala Pilah.
Menurut Dr Lui Sze Chiang, sebahagian besar daripada jumlah lembu yang dikorbankan adalah sumbangan kebajikan pihak syarikat sendiri bagi tujuan sedekah dan bantuan komuniti sempena Aidiladha.
“Kita bukan sahaja menguruskan korban pelanggan, tetapi Tayyib Ranch sendiri turut memperuntukkan lembu korban untuk tujuan amal dan kebajikan masyarakat,” katanya lagi.

Katanya, pengunjung yang hadir ke Karnival Qurban Tayyib Ranch 2026 turut berpeluang menikmati jamuan korban percuma yang disediakan sepanjang dua hari program berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
“Kita akan terus memasak untuk pengunjung selagi ada permintaan kerana Tayyib Ranch mempunyai dapur sendiri di lokasi program,” katanya.

Pihak Tayyib Ranch turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pelanggan, sukarelawan, petugas dan masyarakat setempat yang bersama-sama menjayakan program korban tahun ini.
Program berkenaan dilihat bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, malah memperkukuhkan nilai kebersamaan, semangat gotong-royong dan budaya berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat.

