editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Anggota Badan Beruniform Negeri Selangor (PEKABS) terus memperkukuhkan jaringan komuniti dan semangat kebersamaan masyarakat menerusi penganjuran Program Ramah Mesra “Jom Ronda” Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jalinan Kasih bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Presint 14H Putrajaya yang berlangsung dengan jayanya.
Program berkenaan menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan antara masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta pasukan keselamatan demi mewujudkan komuniti yang lebih harmoni, selamat dan sejahtera selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Sebagai sebuah pertubuhan kebajikan yang aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan, PEKABS sentiasa komited menyantuni masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
Melalui pendekatan inklusif dan berteraskan semangat kebersamaan, PEKABS terus memainkan peranan aktif dalam membantu golongan memerlukan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan, aktiviti kesukarelawanan, pembangunan komuniti serta program pengukuhan hubungan sosial.

Di Putrajaya, PEKABS turut memperluaskan gerak kerja komuniti menerusi platform Komuniti MADANI Putrajaya yang dilihat sebagai medium strategik untuk memperkukuhkan hubungan antara rakyat, komuniti setempat dan agensi kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi PEKABS, Mohd Hafiz Osman, pada 16 Mei lalu telah menerima Watikah Pelantikan Ketua Komuniti MADANI Zon 4 Putrajaya yang merangkumi kawasan Presint 12, Presint 14 dan Presint 15.
Watikah pelantikan itu telah disampaikan oleh Menteri Komunikasi sebagai tanda kepercayaan terhadap kepimpinan beliau dalam memperkasakan pembangunan komuniti di kawasan berkenaan.
Pelantikan itu dilihat sebagai satu amanah besar dalam usaha memperkukuhkan peranan masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti yang lebih tersusun, efektif dan memberi impak positif kepada penduduk setempat.

Menerusi platform Komuniti MADANI Zon 4 Putrajaya, PEKABS akan terus memanfaatkan peluang kerjasama strategik bersama Persatuan Penduduk Presint 14, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Presint 14, Surau Al-Istiqlal Presint 14 serta pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia bagi melaksanakan lebih banyak program kemasyarakatan dan aktiviti berimpak tinggi pada masa akan datang.
Dalam masa sama, PEKABS turut menyeru orang ramai untuk tampil menyertai pertubuhan itu sebagai sukarelawan dan ahli bagi membantu menjayakan pelbagai aktiviti kebajikan serta program komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat pelbagai lapisan usia dan kaum.
Menurut PEKABS, penglibatan masyarakat secara aktif amat penting dalam memastikan agenda kebajikan dan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan demi membentuk komuniti yang lebih prihatin, bersatu padu dan sejahtera.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai PEKABS sebagai sukarelawan atau ahli boleh menghubungi Setiausaha PEKABS, Siti Asmah di talian 016-221 9167 untuk maklumat lanjut.

