29.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 28, 2026

Ghea Indrawari gegarkan Kuala Lumpur menerusi konsert solo “RASI JIWA” di Zepp KL Mei 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi sensasi dari Indonesia, Ghea Indrawari, bakal kembali menemui peminat setianya di Malaysia menerusi sebuah konsert solo eksklusif bertajuk “GHEA INDRAWARI : RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur” yang dijadualkan berlangsung pada 8 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert ini menandakan kepulangan istimewa Ghea ke pentas Malaysia selepas menerima sambutan hangat daripada peminat tempatan sebelum ini.

Dikenali dengan kekuatan vokal serta lagu-lagu balada yang menyentuh emosi, Ghea Indrawari dijangka menyampaikan sebuah persembahan yang sarat dengan keintiman dan kejujuran perasaan.

Konsert Rasi Jiwa bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya membawa penonton menyelami perjalanan emosi dan penceritaan jiwa yang menjadi identiti utama muzik Ghea.

Menurut Ghea, Rasi Jiwa membawa falsafah tentang penerimaan diri dan realiti emosi manusia yang tidak sentiasa berada dalam keadaan sempurna.

Katanya, konsep konsert ini menolak persepsi bahawa seseorang harus sentiasa kelihatan kuat atau baik-baik sahaja.

Sebaliknya, ia mengajak terutamanya golongan muda untuk berani mengakui proses kehidupan termasuk fasa kekeliruan, kejatuhan dan pencarian diri yang masih belum selesai.

Bagi memberikan pengalaman yang lebih dekat dan bermakna kepada penonton, konsert ini direka dengan konsep interaksi yang menekankan hubungan emosi antara artis dan peminat.

Beberapa kategori tiket ditawarkan termasuk kawasan berdiri bebas, tempat duduk bernombor serta zon VIP yang terletak berhampiran pentas.

Menariknya, setiap kategori tiket dinamakan berasaskan fasa emosi dalam kehidupan, sejajar dengan tema Rasi Jiwa itu sendiri.

Harga tiket ditawarkan bermula dari RM198 hingga RM238 bagi kategori berdiri di tingkat bawah, manakala tiket tempat duduk di tingkat atas berharga antara RM338 hingga RM368.

Selain itu, pakej VIP Suite ditawarkan pada harga RM5,000, sementara sesi Meet & Greet bersama Ghea Indrawari boleh dinikmati dengan harga RM300, memberikan peluang eksklusif kepada peminat untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan penyanyi kesayangan mereka.

Pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert dilihat amat bertepatan dengan konsep Rasi Jiwa yang menitikberatkan elemen keintiman, kualiti bunyi serta suasana yang kondusif untuk persembahan beremosi dan penuh penghayatan.

Tiket konsert “RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur” boleh didapati menerusi laman web rasmi www.GheaRasiJiwaKL.com serta platform jualan tiket LOKET.

Jualan tiket pra-jualan akan bermula pada 10 Januari 2026 jam 10 pagi khusus untuk peminat yang telah mendaftar di laman tiket rasmi, manakala jualan awam akan dibuka pada 11 Januari 2026.

Konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti pada tahun 2026, khususnya buat peminat muzik balada dan penggemar karya penuh emosi Ghea Indrawari di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular