editormaxinfo@gmail.com
BANGI – Olympia Education Malaysia hari ini melancarkan Pelan Pembangunan Golf Olympian 2026–2030 dengan sasaran melahirkan lebih 10,000 pemain golf profesional dalam tempoh lima tahun, termasuk 100 pemain berpotensi tinggi yang disasarkan layak mewakili negara di peringkat antarabangsa pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Rani Osman berkata, pelan pembangunan berteraskan komuniti itu diperkenalkan sebagai usaha menyeluruh untuk memperkasakan ekosistem golf negara secara inklusif, merangkumi penyertaan daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, jantina dan latar belakang sosioekonomi.
Menurut Abdul Rani, program tersebut dibangunkan dengan pendekatan terbuka, membolehkan penyertaan seawal usia kanak-kanak hingga ke warga emas termasuk anak-anak daripada golongan B40 dan M40, sekali gus menghakis persepsi bahawa sukan golf hanya sesuai untuk kumpulan elit.
“Pelan ini memberi fokus kepada pencarian bakat tulen. Sesiapa sahaja yang mempunyai minat dan potensi akan dibimbing secara berperingkat bermula dari sekolah, universiti sehingga ke tahap profesional,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Pembangunan Golf Olympian 2026 – 2030 di Kelab Golf Danau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Selangor, hari ini.

Pelancaran program berkenaan juga antara lain bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau pendidikan golf, pengurusan kelab secara lestari, inovasi, teknologi dan pelancongan golf.
Mengulas lanjut, Abdul Rani berkata, pihaknya yakin sasaran melahirkan ramai pemain golf bertaraf dunia itu bukan satu perkara mustahil jika mereka mendapatkan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, pemilik kelab golf dan rakan strategik lain.
Menurutnya, sebagai teras utama pelan berkenaan, Olympia Education Malaysia turut mengintegrasikan pembangunan sukan dengan pendidikan akademik dan profesionalisme melalui penawaran kurikulum golf sebagai program mikro-kredensial, selain cadangan pengajian khusus di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana.
“Pendekatan ini bertujuan melahirkan pemain yang bukan sahaja cemerlang di padang, malah memiliki asas akademik dan disiplin profesional yang kukuh bagi memastikan kelangsungan kerjaya jangka panjang dalam industri golf.
“Daripada sasaran keseluruhan melebihi 10,000 peserta, hanya sekitar 100 pemain terbaik akan dikenal pasti dan dipersiapkan secara intensif untuk menjadi wakil negara, selari dengan aspirasi melahirkan atlet yang benar-benar berdaya saing di pentas dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategik dan Operasi Olympia Education Malaysia, Dr Shalieza Razali berkata, pelan pembangunan itu juga merangkumi kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi dan kelab golf tempatan, termasuk penggunaan fasiliti universiti sebagai pusat latihan dan akademi, sekali gus mewujudkan sinergi antara pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat.
Shalieza juga menegaskan pihaknya tidak bersaing dengan kelab golf sedia ada, sebaliknya berperanan melengkapkan ekosistem industri melalui kolaborasi yang memberi manfaat bersama.
“Selain melahirkan atlet, pelan tersebut turut menyasarkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap potensi industri golf sebagai satu bidang kerjaya yang luas merangkumi latihan, pengurusan, pentadbiran dan sektor berkaitan sumber semula jadi.
“Pelancaran Pelan Pembangunan Golf Olympian 2026–2030 ini dilihat sebagai langkah strategik jangka panjang untuk menjadikan golf lebih inklusif, mampan dan berdaya saing, selaras dengan keperluan pembangunan sukan negara serta aspirasi melahirkan generasi atlet masa depan yang holistik,” katanya.

