editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Selepas berehat selama dua tahun dari pentas konsert, penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), kembali menghangatkan suasana dengan persembahan penuh emosi menerusi konsert intim bertajuk “BCL Eternal Love – Timeless Romance” yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hujung minggu lalu.
Lebih 2,000 peminat hadir untuk menyaksikan perjalanan seni dan peribadi BCL yang diterjemahkan dengan penuh perasaan dalam sebuah persembahan yang bukan sekadar hiburan, tetapi turut menyentuh hati setiap yang hadir.
Konsert ini membawa penonton menyusuri kisah cinta, kehilangan dan harapan satu naratif jujur daripada kehidupan sebenar seorang wanita yang pernah merasai kegembiraan dan kesedihan yang mendalam.

Seperti dalam persembahannya pada tahun 2023, BCL tidak menyembunyikan babak paling menyentuh dalam hidupnya pemergian suami tercinta, Allahyarham Ashraf Sinclair pada tahun 2020.
Ketika mempersembahkan lagu hit “Wanita Terbahagia”, BCL berkata, lagu itu adalah dedikasi tulus kepada arwah suaminya, yang telah menjadi sebahagian besar daripada kebahagiaannya semasa hayat mereka bersama.
“Lagu ini untuk Ashraf. Kehadirannya, bersama anak kami Noah, menjadikan saya wanita paling bahagia,” kata BCL dengan penuh emosi.
Namun begitu, dia turut mengakui bahawa kehidupan tidak sentiasa berjalan seperti yang diimpikan.
“Kehilangan Ashraf adalah satu kejutan yang memaksa saya melepaskan ‘partner in crime’ saya terlalu awal,” katanya, yang menerima tepukan gemuruh daripada penonton yang turut merasai kesedihan itu.

BCL juga berkongsi kenangan manis sepanjang 12 tahun perkahwinannya bersama Ashraf, yang menjadi inspirasi kepada lagu “12 Tahun Terindah”.
Lagu ini jelas menyentuh perasaan ramai apabila dia menyampaikan mesej tentang pentingnya menghargai masa bersama insan tersayang.
“Dalam kisah hidup saya, ia mengajar untuk menghargai setiap detik kerana kita tidak tahu bila mereka akan pergi meninggalkan kita,” katanya.
Namun, konsert ini tidak hanya tertumpu kepada kisah duka. Sebaliknya, ia menjadi ruang untuk BCL berkongsi fasa baharu dalam hidupnya yang kini kembali menemui cinta.
Dalam nada yang positif dan penuh harapan, dia mengumumkan kebahagiaannya apabila kembali bergelar isteri selepas mendirikan rumah tangga bersama Tiko Aryawardhana pada 2 Disember 2023 di Bali.

Lebih manis lagi, BCL melahirkan rasa syukur kerana keluarga arwah Ashraf menerima kehadiran Tiko dengan hati yang terbuka sebagai ahli baharu dalam keluarga besar mereka.
“Lagu dan video malam ini tidak bertujuan untuk membuat anda menangis. Saya hanya ingin berkongsi perjalanan saya bagaimana saya sembuh dan memulakan lembaran baharu,” katanya.
Konsert “BCL Eternal Love – Timeless Romance” turut menampilkan barisan lagu popular seperti “Ingkar”, “Selalu Ada di Nadimu”, “Memulai Kembali”, “Kerana Ku Cinta Kau”, dan “Cinta Sejati”, yang semuanya disampaikan dengan penghayatan mendalam.

Menambahkan keistimewaan malam itu ialah kemunculan beberapa bintang jemputan seperti Fajar Noor, Jaclyn Victor, Yuna dan pemain biola terkenal, Dennis Lau, yang bersama-sama mencipta momen magis dalam persembahan yang pasti akan terus terpahat dalam ingatan peminat.
Dengan gabungan kisah peribadi, vokal yang memukau dan persembahan visual yang mengagumkan, konsert ini bukan sahaja merayakan cinta dalam pelbagai bentuk, tetapi juga menjadi simbol kekuatan seorang wanita yang bangkit selepas kehilangan untuk terus melangkah ke hadapan dengan penuh harapan.