27.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 23, 2025

RIM perjelas isu anugerah ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ AIM24 dan kepentingan pendaftaran ISRC yang betul

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memberi penjelasan berhubung kategori ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ dalam Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) susulan kekeliruan orang ramai mengenai kriteria pemilihan pemenang, khususnya membabitkan lagu popular “Old Love” nyanyian Yuji dan Putri Dahlia.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan RIM, pemenang bagi kategori ini ditentukan sepenuhnya berdasarkan data penstriman rasmi yang diterima daripada penyedia data pihak ketiga.

“Proses ini dikendalikan secara automatik, tanpa campur tangan manual, bagi memastikan ketelusan dan ketepatan data.

“Namun begitu, lagu “Old Love” yang mencatat jumlah strim luar biasa tidak tersenarai dalam Carta Domestik RIM carta mingguan rasmi yang menyenaraikan lagu-lagu tempatan paling tinggi distrim di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut RIM, ketiadaan lagu terbabit dalam carta bukan disebabkan oleh kekurangan jumlah strim, tetapi berpunca daripada isu teknikal berkaitan pendaftaran kod ISRC lagu berkenaan.

“Kod ISRC atau International Standard Recording Code ialah identifikasi unik dan kekal untuk setiap rakaman bunyi atau video muzik yang diterbitkan.

“Ia berfungsi sebagai “cap jari digital” yang membolehkan sistem menjejak jumlah penstriman, jualan dan pengiraan royalti secara tepat di semua platform digital global.

“Untuk lagu diklasifikasikan sebagai rakaman tempatan Malaysia dalam Carta Domestik RIM, kod ISRC bagi lagu terbabit mestilah didaftarkan dengan awalan negara “MY”,” kata kenyataan itu lagi.

Kod ini membolehkan sistem RIM mengenal pasti rakaman itu sebagai keluaran tempatan, sekali gus diambil kira dalam semua penilaian rasmi termasuk anugerah industri.

Dalam kes “Old Love”, lagu itu telah didaftarkan dengan tiga kod ISRC berlainan yang bermula dengan awalan luar negara seperti SE (Sweden), TL (Timor Leste) dan QZ (kod antarabangsa).

Oleh kerana tiada kod ISRC dengan awalan “MY” didaftarkan untuk lagu ini, sistem automatik gagal mengklasifikasikannya sebagai rakaman tempatan, menyebabkan ia tidak dimasukkan dalam Carta Domestik RIM dan tidak layak dipertimbangkan untuk kategori ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ AIM24.

RIM menegaskan isu ini bukan disebabkan kecuaian mana-mana pihak, tetapi lebih kepada ketidaktentuan teknikal yang berlaku semasa proses pendaftaran ISRC.

Dalam hal ini, RIM ingin mengingatkan bahawa pendaftaran ISRC dengan betul khususnya melalui RIM adalah amat penting bagi memastikan pengiktirafan kepada artis dan penerbit muzik tempatan dapat diberikan dengan adil dan tepat.

RIM turut menyeru semua pihak dalam industri muzik termasuk label, pengedar digital dan artis bebas agar lebih proaktif bekerjasama dengan RIM dalam proses pendaftaran kod ISRC, terutamanya bagi rakaman yang diterbitkan di Malaysia.

Langkah ini bukan sahaja menjamin kelayakan penyertaan dalam carta dan anugerah rasmi, tetapi juga memberi impak besar dalam mempromosikan dan mengangkat martabat muzik tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dengan penjelasan ini, RIM berharap semua pihak memahami kepentingan proses pengurusan data dalam industri muzik moden yang semakin bergantung kepada teknologi digital.

Ketelusan, ketepatan data dan pendaftaran yang sah adalah asas kepada sebuah ekosistem muzik yang adil, mampan dan berdaya saing.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular