25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 21, 2026

Kolaborasi High Cultured dan Bunga perkenal koleksi “Superstar”, satukan gaya dan suara anak muda

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Dunia fesyen jalanan dan muzik hip-hop sekali lagi dipertemukan menerusi satu kolaborasi penuh ekspresi apabila jenama streetwear terkenal tanah air, High Cultured, secara rasmi melancarkan koleksi terbaharu mereka bertajuk “Superstar” hasil kerjasama eksklusif bersama penyanyi rap sensasi, Bunga Isme.

Acara pelancaran koleksi itu berlangsung di butik High Cultured di Central i-City, Shah Alam.

Acara ini bukan sahaja meraikan gabungan dua cabang budaya yang semakin dominan dalam kehidupan generasi muda fesyen dan muzik tetapi turut menandakan detik penting dalam perkembangan budaya pop tempatan.

Koleksi “Superstar” lahir daripada kisah peribadi dan perjalanan seni Bunga dalam dunia muzik tanah air.

Item utama koleksi, iaitu “Superstar Baseball Shirt”, direka dengan tampalan angka “19” yang membawa makna signifikan tahun di mana Bunga mula menjejakkan kaki ke pentas, memulakan langkah berani dalam membina nama dalam arena hip-hop tempatan.

Dengan rekaan oversized yang bergaya, sulaman berkualiti tinggi dan keselesaan uniseks, koleksi ini dicipta sebagai satu lambang keyakinan dan keaslian.

Pengarah Kreatif High Cultured, Kazuya Higa berkata, kerjasama ini mewakili lebih daripada sekadar kolaborasi produk fesyen.

“High Cultured sentiasa menjadi lebih daripada sekadar pakaian ia adalah budaya. Bekerjasama dengan Bunga adalah cara kami meraikan generasi yang berani berdiri teguh dan menyuarakan identiti mereka.

“Koleksi Superstar ini adalah simbol kepada semangat itu,” katanya.

Bagi Bunga sendiri, koleksi ini mengangkat nilai sentimental dan semangat perjuangan.

Dia menyatakan keterujaannya kerana dapat meluahkan naratif peribadi melalui medium fesyen.

“Kolaborasi ini sangat istimewa buat saya. Angka ‘19’ itu bukan sekadar nombor ia lambang kepada permulaan saya dalam industri muzik.

“Saya mahu sesiapa yang memakai koleksi ini turut merasa keyakinan dan tenaga yang sama seperti saya ketika berada di atas pentas berani, real dan tak terhentikan,” katanya.

Acara pelancaran itu turut menampilkan persembahan muzik secara langsung, sesi bertemu peminat dan peluang eksklusif untuk menjadi antara yang pertama memiliki koleksi yang bakal mencetuskan fenomena gaya dalam kalangan peminat streetwear tanah air.

Koleksi “Superstar” akan mula dijual secara rasmi di semua butik High Cultured dan platform dalam talian mereka selepas pelancaran.

Dengan permintaan awal yang dijangka tinggi, peminat disarankan untuk mendapatkan koleksi ini seawal mungkin.

Gabungan gaya dan suara dalam kolaborasi ini membuktikan bahawa budaya tempatan kini bukan sahaja berdaya saing tetapi juga mampu mencipta identiti tersendiri.

High Cultured dan Bunga mengangkat maksud sebenar “Superstar” menjadi diri sendiri dengan penuh keyakinan, dalam apa jua ruang yang diterokai.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian koleksi, orang ramai boleh melayari laman web rasmi High Cultured atau mengunjungi butik mereka yang berdekatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular