25.3 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

Pesta Kopi kembali gegar ibu kota, edisi ke-8 Festival Kopi perintis Malaysia berlangsung di Semua House Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pencinta kopi dari seluruh negara bakal berhimpun di tengah-tengah ibu kota apabila Pesta Kopi, festival kopi perintis di Malaysia, kembali untuk edisi kelapan yang dinanti-nantikan.

Berlangsung dari 8 hingga 10 Ogos di Semua House, festival ini sekali lagi mengangkat budaya kopi tempatan ke pentas utama, menjadikannya acara tahunan yang tidak boleh dilepaskan oleh penggemar kopi, barista profesional mahupun pelawat kasual.

Ini adalah kali ketiga Pesta Kopi dianjurkan di Kuala Lumpur, dan Semua House sebuah hab kreatif dan perniagaan yang telah diperbaharui dipilih sebagai lokasi rasmi.

Terletak di tengah bandaraya, lokasi ini kini menjadi tumpuan jenama-jenama tempatan dan platform bagi pelbagai pengalaman berbudaya.

Lebih 50 jenama kopi dari Malaysia, Indonesia dan pelbagai negara lain berkumpul di bawah satu bumbung, termasuk nama-nama besar seperti Whatever Works dan 103 Coffee, serta lima jenama terkemuka dari Indonesia yang diterbangkan khas ke Kuala Lumpur.

Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai jenis kopi dari biji kopi single origin hingga campuran edisi terhad, menjadikan festival ini destinasi utama untuk menyelami keunikan dunia kopi yang semakin berkembang di rantau ini.

Pelbagai Sorotan Menarik Menanti Pengunjung

Festival kali ini bukan sekadar tentang kopi ia juga menawarkan pelbagai aktiviti dan pengalaman yang menyatukan rasa, kreativiti dan komuniti.

Antara tarikan utama termasuk pilihan biji kopi istimewa dari negara-negara seperti Malaysia, Vietnam, Indonesia dan negara-negara Afrika, jualan peralatan kopi yang merangkumi set permulaan hinggalah ke mesin profesional, serta sajian pastri dan pencuci mulut ala kafe yang melengkapi pengalaman rasa yang sempurna.

Barisan aktiviti interaktif juga dijangka menjadi tumpuan sepanjang tiga hari festival berlangsung. Antaranya termasuk:

-Pertandingan Seni Latte & Sweetlab, iaitu pertandingan barista kreatif yang dianjurkan oleh Lesweet, mempertemukan barista-barista terbaik dari seluruh negara dalam pertarungan seni dan kemahiran.

-Kelas interaktif seperti Bengkel Seni Latte dan Bengkel Kenali Roaster Anda, yang dikendalikan oleh pakar industri sesuai untuk pemula dan pembancuh kopi di rumah yang ingin meningkatkan kemahiran mereka.

-Pertandingan Cup Doodling oleh Coffex, terbuka kepada semua, dengan hadiah wang tunai RM1,000 serta bekalan kopi dan peralatan eksklusif selama tiga bulan.

Festival ini turut menganjurkan acara khas seperti “Rise ‘N Grind”, satu larian pagi Ahad yang dianjurkan bersama Projek 59 dan Box KL, lengkap dengan hidangan ringan, sesi DJ dan cabutan bertuah yang menceriakan suasana hujung minggu.

Tidak ketinggalan, cabaran “Tropical Thunder Coconut Mix” oleh Karta, memberi peluang kepada mixologist baharu dan berpengalaman untuk mencipta minuman kopi berinfusi kelapa yang paling kreatif.

Bagi mereka yang gemarkan cabaran unik, peraduan makan snek “Snack Like a Rockstar” oleh Tos Tos Tortilla Chips menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM500 kepada peserta yang mempunyai “kunyahan paling kuat” satu aktiviti yang dijangka mencetuskan suasana ceria dan gamat.

Suasana Dihangatkan dengan Alunan Muzik dan Penampilan DJ Terkenal

Menambahkan lagi kemeriahan, pengunjung juga akan dihiburkan dengan set muzik daripada kolektif DJ tempatan Beats and Brew, yang akan menghidupkan suasana sepanjang hujung minggu dengan irama santai dan bertenaga.

Sorotan khas pada hari Sabtu, dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari, adalah segmen “Hitz FM Chill Takeover”, yang menampilkan DJ-DJ Hitz secara langsung dalam suasana santai sambil pengunjung menikmati secawan kopi.

Masuk adalah percuma, dan Pesta Kopi 2025 menjanjikan pengalaman yang menyeluruh bukan sahaja sebagai tempat untuk mencuba pelbagai jenis kopi, tetapi juga sebagai ruang untuk membina jaringan dalam komuniti kopi, meneroka kreativiti dan menyelami budaya yang semakin subur di Malaysia.

Sebarang maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai Pesta Kopi, ikuti laman Instagram rasmi mereka di @pestakopi dan @semuahousekl.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular