editormaxinfo@gmail.com
SEPANG – Persepsi lapuk masyarakat yang menganggap program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kelas kedua perlu diubah agar selari dengan perkembangan semasa industri dan hala tuju pembangunan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, program TVET kini telah berkembang jauh daripada tanggapan konvensional dan berada pada kedudukan yang setanding dengan program akademik arus perdana.
Malah, terdapat situasi di mana graduan TVET lebih menjadi pilihan majikan kerana kemahiran praktikal yang dimiliki mereka, berbanding graduan akademik semata-mata.
“Pandangan bahawa pelajar TVET sebagai golongan kelas kedua mungkin ada benarnya dua atau tiga dekad yang lalu.
“Namun, landskap pendidikan hari ini sudah berubah secara signifikan.
“Program-program TVET masa kini bukan sahaja berada pada tahap yang sama dengan program akademik, malah semakin mendapat pengiktirafan tinggi daripada pihak industri,” katanya.
Beliau berkata, majikan masa kini memberi penekanan terhadap calon yang tidak hanya menguasai teori, tetapi juga memiliki kemahiran teknikal yang tinggi dan mampu melaksanakan tugas mengikut kehendak sebenar industri.
Dalam usaha memperkukuhkan ekosistem TVET di negara ini, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, terus memberi perhatian serius terhadap pembangunan bidang berkenaan.
Inisiatif ini termasuklah penubuhan Majlis TVET Negara dan pelaksanaan Pelan Induk TVET Negara yang bertujuan memperkasa struktur serta kualiti program TVET secara menyeluruh.
Mohammad Shatar berkata, universiti teknikal di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) kini menawarkan pelbagai program TVET berkualiti tinggi, yang bukan sahaja diiktiraf setanding program akademik dalam negara, malah turut menepati piawaian antarabangsa.
Dalam pada itu, MQA kekal komited memastikan semua program pengajian sama ada bercirikan TVET atau akademik di institusi pengajian tinggi awam dan swasta memenuhi piawaian kualiti yang diiktiraf di peringkat dalam dan luar negara.
“Graduan TVET hari ini berada pada tahap setara dengan graduan akademik dari segi pengiktirafan dan kebolehpasaran kerja.
“Laluan pendidikan mereka jelas dan disokong sepenuhnya melalui Kerangka Kelayakan Malaysia (MQR).
“Mereka hanya perlu bijak dalam memilih bidang yang sesuai dengan minat dan hala tuju kerjaya masing-masing,” katanya.
Dengan perubahan landskap pendidikan dan keperluan industri yang semakin mencabar, beliau menyeru agar masyarakat membuka minda terhadap potensi besar bidang TVET, bukan sahaja sebagai laluan pendidikan alternatif, tetapi sebagai pilihan utama dalam membentuk masa depan negara yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi.

