editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sebuah karya sinematik penuh emosi yang telah mengundang reaksi tular dan air mata dalam kalangan penonton di Indonesia bakal menemui penonton Malaysia tidak lama lagi.
Filem romantik “Tak Ingin Usai Di Sini”, adaptasi daripada filem Korea Selatan yang terkenal, More Than Blue (2009), akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 3 Julai 2025.
Filem ini diterbitkan oleh Paragon Pictures dengan kerjasama Ideosource Entertainment dan Horizon Film Entertainment selaku pengedar rasmi di Malaysia.
Ia ditulis dan diarahkan oleh Robert Ronny, pengarah yang sebelum ini dikenali menerusi karya The Most Beautiful Girl In The World.

Menampilkan barisan pelakon ternama Indonesia, filem ini dibintangi oleh Bryan Domani (172 Days), Vanesha Prescilla (Milea: Suara dari Dilan), Davina Karamoy (Ipar Adalah Maut) serta beberapa nama besar lain dalam industri seni lakon tanah seberang.
Gabungan kekuatan lakonan, naratif menyentuh hati dan pengarahan yang teliti menjadikan filem ini antara karya yang paling dinanti-nantikan di rantau ini.
Sejak tayangan perdananya di Indonesia pada 5 Jun lalu, filem ini telah mencatat lebih 200,000 penonton dalam tempoh hanya tiga hari, membuktikan kekuatannya sebagai karya yang mampu menyentuh hati khalayak secara mendalam.
Sambutan luar biasa itu turut mendorong tayangannya diperluaskan ke Singapura dan Brunei.

Lebih menarik, Tak Ingin Usai Di Sini menjadi tular di media sosial, khususnya di platform TikTok, apabila ribuan pengguna berkongsi reaksi mereka yang penuh emosi, termasuk ulasan positif serta detik-detik mengalirkan air mata selepas menonton filem ini.
Filem ini mengisahkan perjalanan cinta dua sahabat sejak zaman persekolahan, K (lakonan Bryan Domani) dan Cream (dilakonkan oleh Vanesha Prescilla).
Hubungan mereka yang akrab bertukar menjadi satu dilema emosi apabila K, yang dalam diam menyimpan rasa cinta terhadap Cream, memilih untuk menjauhkan diri dan berusaha mencari pasangan yang sesuai untuk Cream.

Niatnya bukan untuk melepaskan, tetapi demi memastikan sahabatnya itu tidak kesunyian apabila dia tiada lagi dalam hidupnya.
Konflik batin dan pengorbanan cinta menjadi nadi utama naratif filem ini.
Ia mengangkat persoalan bagaimana jika cinta sebenar tidak pernah sempat diungkap dan hati masih belum bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal?.
Dalam keheningan perasaan yang tidak pernah terluah, K dan Cream berharap cinta mereka tak ingin usai di sini.
Dengan jalan cerita yang menyentuh jiwa serta mesej yang meresap ke dasar emosi, filem ini dijangka turut meraih sambutan hangat daripada penonton Malaysia.
Tayangan rasmi akan bermula pada 3 Julai 2025 di pawagam seluruh negara.