editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Arena hiburan tanah air bakal menyaksikan satu lagi fenomena baharu apabila Astro memperkenalkan sebuah program realiti nyanyian terbaharu bertajuk ‘Raise The Star Malaysia’, yang menampilkan keunikan tersendiri dengan menempatkan lima komposer terkenal sebagai tonggak utama dalam pencarian bintang baharu industri muzik tempatan.
Bermula 22 Jun 2025, setiap Ahad jam 9 malam, program ini akan disiarkan secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam menerusi saluran Astro Ria (104), serta boleh distrim menerusi platform digital Astro GO dan sooka.
Membawa kelainan kepada format konvensional program realiti nyanyian, ‘Raise The Star Malaysia’ memfokuskan kepada perspektif komposer dalam proses pemilihan dan pembangunan bakat baharu.
Antara nama besar yang menghiasi barisan komposer utama musim pertama ini ialah Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah, dan Ikhwan Fatanna.
Menerusi pengalaman dan reputasi masing-masing dalam industri muzik, mereka bukan sahaja bertindak sebagai juri, tetapi turut mencipta lagu khas untuk para peserta yang mereka pilih untuk mara ke pentas akhir.

Program ini menjanjikan lebih daripada sekadar pertandingan vokal.
Ia adalah satu platform yang memfokuskan pembangunan bakat secara holistik meliputi bimbingan teknikal, emosi dan seni persembahan sekaligus menyediakan peserta dengan persediaan menyeluruh sebelum melangkah ke dunia hiburan profesional.
Format ini diinspirasikan daripada konsep global, namun dibangunkan dengan sentuhan tempatan yang setaraf produksi antarabangsa.
Hos popular tanah air, Alif Satar dan Sherry Alhadad, digandingkan sebagai pengacara utama, menjanjikan keseronokan dan karisma tersendiri bagi memeriahkan pentas mingguan yang akan berlangsung selama lapan minggu.
Seramai 30 peserta telah dipilih daripada ribuan yang hadir dalam sesi uji bakat digital dan fizikal.
Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia, namun disatukan oleh semangat dan impian yang sama untuk bergelar penyanyi profesional.

Kesemua peserta telah menjalani saringan rapi oleh panel profesional termasuk guru vokal dan komposer jemputan sebelum disenarai pendek untuk menyertai pertandingan ini.
Pengurus Saluran Astro Ria Idlan Zahari berkata, program ini direka untuk mengangkat martabat karya komposer tempatan yang selama ini menjadi tulang belakang industri muzik.
“Dengan ‘Raise The Star Malaysia’, kami ingin mengetengahkan keindahan proses penciptaan lagu serta memberi peluang kepada peserta untuk menonjol menerusi karya asli yang dicipta khas oleh komposer.
Ia bukan sahaja memberikan nilai eksklusif kepada setiap persembahan, malah memperlihatkan keindahan seni muzik dari sudut yang lebih mendalam,” katanya.

Setiap minggu, peserta akan melalui pelbagai tugasan seperti persembahan solo, duet dan cabaran persembahan kreatif. Penjurian akan dilakukan berdasarkan sistem dua bahagian iaitu 80 peratus markah ditentukan oleh komposer manakala 20 peratus lagi datang daripada undian penonton umum.
Sistem ‘Slay Meter’ turut diperkenalkan bagi menilai persembahan setiap minggu, di mana peserta yang menerima lima slay daripada juri akan menerima ganjaran wang tunai daripada penaja.
Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada QSR Brands (KFC) dan UMobile selaku penaja utama.

Peserta dengan kedudukan terendah pada setiap minggu akan disingkirkan, menjadikan persaingan semakin sengit menuju ke pentas akhir.
Sebagai tanda sokongan terhadap bakat dan seni tempatan, ‘Raise The Star Malaysia’ turut mengajak para penonton untuk menyaksikan perjalanan peserta dan komposer dalam mencipta magis muzik secara eksklusif di Astro Ria, Astro GO, Astro Gempak, dan sooka.
Bagi mereka yang ingin menyokong bakat-bakat baharu ini dari awal hingga ke akhir, ‘Raise The Star Malaysia’ menjanjikan hiburan yang bukan sahaja mendebarkan, tetapi juga menyentuh emosi sebuah kisah impian yang sedang dilakar, satu nota muzik pada satu masa.

