editormaxinfo@gmail.com
SHAH ALAM – Dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap pembangunan pendidikan negara, Pusat Tuisyen PTTI tampil menghulurkan sumbangan tajaan pendidikan bernilai RM100,000 kepada Parlimen Muar, Johor.
Sumbangan itu diterima oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu majlis yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, hari ini.
Tajaan itu disalurkan khusus untuk membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan di Muar dalam usaha mereka membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Melalui tajaan berkenaan, pelajar terpilih akan menerima pelbagai bentuk bantuan pendidikan termasuk akses kepada kelas tuisyen dalam talian yang dikendalikan oleh PTTI serta kemudahan pembelajaran lain yang dapat membantu mereka menguasai subjek dengan lebih berkesan.

Syed Saddiq menyambut baik inisiatif itu dan menyifatkannya sebagai pelaburan besar dalam masa depan anak-anak Malaysia, terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Cikgu Farhana dan pasukan PTTI atas sumbangan yang sangat bermakna ini.
“Pendidikan adalah keutamaan anak-anak kita. Namun, tidak semua mempunyai akses kepada kelas tuisyen berkualiti disebabkan kekangan kewangan,” katanya.
Menurut Syed Saddiq, daripada jumlah tajaan keseluruhan yang disalurkan, sebanyak RM20,000 daripadanya diterima secara langsung oleh beliau dan akan disumbangkan sepenuhnya kepada pelajar melalui pembelian komputer riba dan tablet.
Bantuan peranti ini dijangka akan diserahkan kepada penerima menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan datang, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan mencecah RM120,000.
Beliau berkata, pendidikan memainkan peranan penting dalam memecahkan kitaran kemiskinan.
Justeru sokongan daripada pihak swasta seperti PTTI amat diperlukan bagi memastikan akses pendidikan berkualiti tidak hanya terhad kepada pelajar di bandar.
“Bukan semua ibu bapa mampu menghantar anak ke kelas tuisyen fizikal, apatah lagi yang tinggal di kawasan luar bandar seperti di Sungai Balang.
“Pendidikan dalam talian dan bantuan seperti ini amat penting bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dan dapat mengurangkan jurang pendidikan,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Farhana berkata, pihaknya akan memberikan komitmen berterusan dalam memastikan pelajar yang memerlukan terutamanya dalam subjek-subjek kritikal, tidak terpinggir daripada peluang untuk cemerlang.
“Lebih sedekad pengalaman kami di PTTI telah membolehkan kami membantu lebih 800,000 pelajar di seluruh negara.
“Tahun lalu sahaja, 400 pelajar bimbingan kami berjaya memperoleh keputusan straight A dalam SPM. Ini adalah bukti bahawa pendekatan yang kami gunakan berkesan dalam membantu pelajar menguasai subjek yang mencabar seperti Matematik, Fizik dan Kimia,” katanya.

Majlis penyampaian sumbangan itu berlangsung bersempena program Roadtour Skor A+ SPM PTTI yang dihadiri hampir 4,000 pelajar dari seluruh negara.
Program ini direka khas untuk memberi bimbingan secara bersemuka oleh tenaga pengajar berpengalaman dan pakar-pakar SPM PTTI kepada calon-calon peperiksaan yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi.
Semangat pelajar turut dibakar melalui kehadiran beberapa figura terkenal, termasuk Syed Saddiq sendiri serta selebriti popular tanah air Bella Astillah, yang berkongsi pengalaman dan memberikan kata-kata inspirasi kepada pelajar.
Acara itu turut diserikan lagi dengan kehadiran selebriti-selebriti lain seperti MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah, Asyraf Khalid dan ramai lagi yang turun padang bagi memberikan sokongan moral kepada pelajar.
Sumbangan tajaan oleh PTTI ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam memperkukuh usaha merapatkan jurang pendidikan antara pelajar bandar dan luar bandar serta memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kekurangan kemudahan atau peluang.

