30.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 26, 2026

Pavilion Bukit Jalil raikan ulang tahun ke-80 Mattel dengan “All Play All Day” sepanjang cuti sekolah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suasana penuh ceria dan warna-warni kini menghiasi Pavilion Bukit Jalil sempena sambutan ulang tahun ke-80 Mattel, salah satu jenama permainan paling ikonik di dunia.

Bertemakan “All Play All Day”, pusat beli-belah ini telah bertukar menjadi sebuah dunia permainan interaktif yang menjanjikan keseronokan buat seisi keluarga daripada dunia glamor Barbie hinggalah ke trek penuh aksi Hot Wheels dan keseronokan menaiki kereta api Thomas & Friends.

Sambutan istimewa ini berlangsung sehingga 8 Jun 2025 dan menawarkan pelbagai zon permainan menarik, cabaran hujung minggu, kawasan bergambar nostalgia serta ganjaran eksklusif menjadikan lawatan ke Pavilion Bukit Jalil satu pengalaman cuti sekolah yang tidak dapat dilupakan.

Sejak penubuhannya 80 tahun lalu, Mattel telah menjadi sebahagian daripada zaman membesar jutaan kanak-kanak di seluruh dunia, mencipta dunia penuh imaginasi, inspirasi dan kenangan.

Hari ini, warisan itu diraikan sepenuhnya di Pavilion Bukit Jalil, yang mengundang pengunjung untuk menyelami dunia permainan yang dibina atas nilai kegembiraan dan nostalgia.

Ketua Pegawai Eksekutif Retail Kuala Lumpur Pavilion Sdn. Bhd., Dato’ Joyce Yap berkata, sambutan ini bukan sahaja memberi ruang untuk berseronok, malah memperkukuhkan ikatan kekeluargaan.

“Di Pavilion Bukit Jalil, kami percaya bahawa pengalaman bermakna adalah kunci kepada hubungan sesama insan dan tiada apa yang dapat menyatukan seperti kegembiraan bermain.

“Ketika Mattel meraikan 80 tahun menginspirasikan imaginasi, kami berbangga dapat menjadikan pusat beli-belah kami sebuah ruang ceria untuk keluarga berkumpul, bermain dan mencipta memori bersama,” katanya.

Antara tarikan utama yang menanti pengunjung ialah pelbagai zon bertema yang direka untuk menghibur dan merangsang imaginasi kanak-kanak.

Di Zon Barbie, pengunjung boleh menikmati pengalaman bergambar 360 darjah, selain bersantai dalam kolam gelembung merah jambu di sisi kereta Barbie yang ikonik.

Sementara itu, Zon Hot Wheels menampilkan kereta die-cast meluncur laju merentasi gelung berapi dan laluan mencabar, termasuk cabaran T-Rex Smasher yang menguji kelajuan dan ketepatan.

Bagi peminat watak klasik, Zon Thomas & Friends membolehkan kanak-kanak mengenali dan memadankan watak lokomotif kegemaran mereka, sebelum menikmati pengalaman menaiki kereta api Thomas sebenar yang bergerak di sekitar pusat beli-belah.

Pengunjung juga boleh bersantai di Zon Mattel All Games, yang menawarkan permainan keluarga berskala besar seperti Scrabble, UNO dan Pictionary menjadikan waktu bermain lebih menyeronokkan buat semua peringkat umur.

Bagi yang gemar mencuba cabaran, pelbagai aktiviti hujung minggu turut disediakan termasuk pertandingan Hot Wheels Crash Out dan Fisher-Price Shape Sorter.

Kanak-kanak yang menyertai lima misi utama dalam acara ini boleh mengumpul cop di dalam pasport aktiviti dan menebus peluang memutar mesin gashapon untuk memenangi hadiah kejutan daripada Mattel.

Sebagai tambahan, pembelian RM60 dan ke atas bagi produk Mattel melayakkan pengunjung menerima barangan edisi khas ulang tahun ke-80 seperti balang penebat haba dan pelekat puffy edisi terhad.

Mereka yang membelanjakan RM150 atau lebih dalam satu resit di Pavilion Bukit Jalil juga boleh menebus ganjaran istimewa sama ada Barbie Surprise Lollipop atau Hot Wheels Blind Box, selagi stok masih ada.

Sambutan ulang tahun Mattel ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma, menjadikannya destinasi wajib dikunjungi oleh ibu bapa dan anak-anak sepanjang cuti sekolah ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular