31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

Akademi Sepak Takraw Malaysia mula digunakan, perkukuh persiapan skuad negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) secara rasmi mula menggunakan bangunan Akademi Sepak Takraw Malaysia buat pertama kali dalam satu program yang menghimpunkan barisan pemain kebangsaan sempena majlis berbuka puasa bersama.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, penggunaan kemudahan itu sudah bermula walaupun majlis perasmian rasmi dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada awal April nanti.

Beliau berkata, program yang berlangsung di akademi berkenaan turut diisi dengan beberapa pengisian lain termasuk mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM selain majlis tahlil, bacaan Yasin dan solat berjemaah bersama pemain kebangsaan.

Menurut beliau, walaupun majlis perasmian rasmi akan dilakukan kelak, akademi itu kini sudah boleh digunakan sepenuhnya oleh pihak persatuan dan pemain.

“Walaupun perasmian akan dibuat oleh Perdana Menteri nanti, tetapi secara rasmi kita sudah mula menggunakan bangunan Akademi Sepak Takraw Malaysia,” katanya ketika ditemui media.

Sumali berkata, kemudahan di akademi itu kini hampir siap sepenuhnya dengan hanya sekitar satu hingga dua peratus kerja akhir yang masih dalam proses penyiapan.

Akademi berkenaan dilengkapi dengan pelbagai fasiliti moden bagi menyokong pembangunan sukan sepak takraw negara, termasuk kemudahan penginapan pemain yang telah dinaik taraf, gimnasium khas untuk latihan sepak takraw serta bilik seminar yang lengkap dengan sistem audio visual.

Bilik seminar di akademi mampu menempatkan kira-kira 100 hingga 120 peserta pada satu masa dan dijangka digunakan bagi menganjurkan bengkel, kursus serta pelbagai program pembangunan berkaitan sukan sepak takraw.

Selain itu, akademi PSM turut menampilkan galeri sejarah sepak takraw negara yang memaparkan perkembangan sukan berkenaan serta mural berkaitan sepak takraw sebagai simbol penghargaan terhadap legasi sukan takraw di Malaysia.

Bagi menarik lebih ramai peminat sukan, akademi itu juga akan menempatkan sebuah sport kafe yang dijadualkan beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 12 malam sekali gus berfungsi sebagai pusat komuniti bagi peminat sepak takraw.

Dalam pada itu, Sumali berkata akademi berkenaan juga akan menjadi salah satu lokasi penting bagi persiapan skuad kebangsaan menjelang beberapa kejohanan antarabangsa utama termasuk Piala Dunia Sepak Takraw, Kejohanan Raja Thai serta Sukan Asia.

Bagaimanapun, pemain utama yang berada dalam program podium masih menjalani latihan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan hanya akan menggunakan kemudahan di akademi berkenaan untuk kem latihan tertentu menjelang kejohanan besar.

“Kemungkinan seminggu sebelum kejohanan besar seperti Piala Dunia, pemain akan ditempatkan di sini untuk menggunakan gelanggang baharu dan kemudahan yang ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sumali turut memaklumkan Kejohanan Piala Emas Khir Johari bakal menjadi kejohanan pertama yang dianjurkan di venue itu.

Sebanyak 21 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan berprestij itu yang turut mengekalkan format pertandingan seperti edisi sebelum ini.

Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM yang diadakan turut membincangkan pelbagai perkara penting termasuk persiapan skuad kebangsaan menghadapi kejohanan utama serta usaha memperkukuh ketahanan mental dan strategi permainan khususnya dalam acara kuadran.

Menurutnya, barisan jurulatih juga telah menyenaraikan gabungan pemain senior dan pemain muda dalam skuad kebangsaan bagi memastikan kesinambungan generasi baharu dalam sukan sepak takraw negara.

Tambah beliau lagi, isu pelepasan pemain yang sebelum ini dibangkitkan juga telah berjaya diselesaikan dan kebanyakan pemain kini bebas untuk menyertai latihan serta program persiapan pasukan.

Dalam usaha memastikan pembangunan berterusan sukan itu, PSM turut merancang melahirkan lebih ramai pemain pelapis apabila enam pemain bawah 23 tahun akan mula menjalani program pembangunan selepas Kejohanan Piala Emas Khir Johari nanti.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang PSM bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sepak takraw Malaysia di pentas antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular