editormaxinfo@gmail.com
SEPANG – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menerima mandat rasmi daripada National Quality Assurance Agency for Education (NQAAE), Uzbekistan untuk melaksanakan proses pengiktirafan pendidikan tinggi di negara Asia Tengah itu.
Ini sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pengantarabangsaan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihak berkuasa jaminan kualiti pendidikan tinggi Uzbekistan itu telah memberikan pengesahan rasmi yang membolehkan MQA menjalankan proses pengiktirafan terhadap institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara berkenaan.
Menurut beliau, mandat itu diberikan susulan permintaan tinggi daripada pihak Uzbekistan yang mahu MQA memainkan peranan dalam melaksanakan proses pengiktirafan universiti di negara itu.
“Permintaan itu secara khusus dibuat oleh pihak Uzbekistan dan pelaksanaannya mendapat sokongan serta kebenaran penuh daripada NQAAE, sekali gus membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam aspek jaminan kualiti pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.
“Perkembangan itu disifatkan sebagai satu pengiktirafan antarabangsa terhadap standard serta integriti sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi Malaysia yang selama ini menjadi rujukan di peringkat global,” katanya.
Mohammad Shatar berkata, mandat berkenaan bukan sekadar menggambarkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Uzbekistan, malah memberi kepercayaan kepada MQA untuk melaksanakan proses pengiktirafan terhadap universiti di negara terbabit.
Katanya, Uzbekistan memiliki lebih 200 universiti yang merangkumi institusi awam dan swasta.
Pada fasa awal pelaksanaan inisiatif itu, empat universiti telah menyatakan minat untuk mendapatkan pengiktirafan MQA iaitu Ajou University, Bukhara State Technical University, Bukhara State University dan Diplomat University.
“Pengiktirafan oleh MQA diyakini mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan serta reputasi universiti kerana piawaian jaminan kualiti yang dilaksanakan oleh agensi itu selaras dengan standard antarabangsa.
“Dengan pengiktirafan itu, universiti yang terbabit berpotensi meningkatkan imej institusi masing-masing di peringkat global, di samping memastikan kualiti pendidikan yang ditawarkan memenuhi piawaian jaminan kualiti yang ditetapkan oleh Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, inisiatif berkenaan turut mendapat kerjasama serta sokongan daripada Malaysia–Uzbekistan Higher Education Consortium yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan strategik antara institusi pendidikan tinggi di kedua-dua negara.
Beliau berkata, usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Zambry Abd Kadir untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan global yang berdaya saing dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Tambahnya lagi, pengantarabangsaan jaminan kualiti adalah antara strategi utama bagi memastikan Malaysia bukan sahaja menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa, malah turut menjadi rujukan global dalam penetapan standard pendidikan tinggi.
Menurut Mohammad Shatar, peluasan peranan MQA di Asia Tengah juga mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap model jaminan kualiti pendidikan tinggi Malaysia yang telus, berintegriti dan berteraskan amalan terbaik global.
“Langkah itu dijangka menjadi pemangkin kepada peluasan pengaruh Malaysia dalam ekosistem pendidikan tinggi antarabangsa, sekali gus memperkukuh reputasi negara sebagai peneraju jaminan kualiti pendidikan tinggi di rantau ini dan seterusnya di pentas dunia,” katanya.

