31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

Konflik Asia Barat: Wisma Putra kekalkan nasihat perjalanan ke 10 negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia atau lebih dikenali sebagai Wisma Putra kepada rakyat Malaysia membabitkan 10 negara di Asia Barat yang terkesan dengan aktiviti ketenteraan masih kekal berkuat kuasa sehingga dimaklumkan kelak.

Menurut kenyataan Wisma Putra bertarikh 5 Mac, nasihat itu dikeluarkan susulan kebimbangan serius terhadap peningkatan konflik yang berlaku di rantau berkenaan yang berpotensi menjejaskan keselamatan rakyat Malaysia.

Negara yang terbabit dalam nasihat perjalanan itu ialah Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain, United Arab Emirates (UAE), Lebanon, Oman dan Saudi Arabia.

Kementerian berkata, keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kerajaan.

“Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke negara yang terjejas oleh konflik semasa sehingga keadaan kembali stabil.

“Nasihat terbabit turut terpakai kepada rakyat Malaysia yang merancang untuk menunaikan ibadah umrah atau melakukan ziarah ke rantau berkenaan buat masa ini,” kata kenyataan itu.

Dalam masa sama, Wisma Putra turut memohon pertimbangan dan kerjasama semua pihak termasuk agensi pelancongan supaya mengambil maklum mengenai nasihat perjalanan yang dikeluarkan bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa terjamin.

Menurut kementerian itu, pihaknya kini sedang bekerjasama rapat dengan perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara, kerajaan negara terbabit serta syarikat penerbangan bagi membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas susulan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara di beberapa lokasi.

“Usaha pemindahan itu juga membabitkan rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air dan akan diselaraskan berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang telah berdaftar dengan perwakilan diplomatik negara.

“Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang berada di negara terbabit digesa segera mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan mereka melalui sistem e-Konsular yang disediakan oleh Wisma Putra bagi memudahkan sebarang urusan bantuan konsular atau pemindahan sekiranya diperlukan,” katanya.

Perwakilan diplomatik Malaysia di negara terjejas turut dilaporkan telah menghubungi rakyat Malaysia di kawasan berkenaan sejak peringkat awal konflik bagi menyalurkan bantuan konsular serta mengumpul maklumat bagi tujuan perancangan kecemasan.

Rakyat Malaysia di negara terbabit juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan yang terbabit dengan aktiviti ketenteraan atau perhimpunan awam serta mematuhi sepenuhnya arahan pihak berkuasa tempatan.

Wisma Putra menegaskan kementerian akan terus memastikan usaha membawa pulang rakyat Malaysia dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan dan keselamatan mereka dengan sokongan semua pihak berkaitan.

Sebagai langkah tambahan, bilik operasi Kementerian Luar Malaysia di Putrajaya kini diaktifkan sepenuhnya selama 24 jam bagi memantau perkembangan semasa dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular