31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

168 Park Mall bawa nostalgia ‘Raya Lama’ ke Selayang menerusi kempen Lebaran Klasika Raya

editormaxinfo@gmail.com

SELAYANG – Pusat beli-belah 168 Park Mall membawakan kelainan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini dengan menampilkan tema klasik menerusi kempen “Lebaran Klasika Raya”, sekali gus menghidupkan kembali suasana nostalgia sambutan Hari Raya seperti pada zaman dahulu.

Kempen yang berlangsung bermula 6 Mac hingga 30 Mac itu menghiasi ruang pusat beli-belah berkenaan dengan dekorasi vintaj yang mengimbau memori sambutan Raya lama.

Ia juga turut menyediakan latar belakang menarik untuk sesi fotografi keluarga serta pengalaman membeli-belah yang lebih bermakna kepada para pengunjung.

Majlis pelancaran kempen itu berlangsung meriah dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang mencerminkan keindahan tradisi tempatan.

Selain menampilkan elemen nostalgia, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai ganjaran eksklusif apabila berbelanja di pusat beli-belah berkenaan.

Mereka yang berbelanja minimum RM168 berpeluang membawa pulang hadiah istimewa seperti sampul raya rekaan khas, beg rotan tradisional serta set teko elegan yang diinspirasikan daripada sentuhan klasik Aidilfitri.

Dalam masa yang sama, 168 Park Mall turut melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi kempen bakul makanan “Kongsi Rezeki” yang dianjurkan dengan kerjasama Maedicare, Village Grocer dan TheLOT Associates.

Menerusi kempen itu, pengunjung digalakkan menyumbang barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan tepung yang dibeli di Village Grocer 168 Park Mall untuk dimasukkan ke dalam tong pengumpulan yang disediakan di Aras LG pusat beli-belah berkenaan.

Majlis pelancaran kempen ini turut diserikan dengan upacara simbolik oleh Ketua Pegawai Eksekutif 168 Park Mall, Edward Lum bersama rakan kerjasama yang lain, yang melakukan pembelian barangan keperluan secara pukal sebagai tanda permulaan kempen kebajikan itu.

Edward berkata, inisiatif “Kongsi Rezeki” bertujuan memudahkan masyarakat untuk berkongsi rezeki dan membantu golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.

Menurutnya, dengan kerjasama Maedicare, sumbangan yang dikumpulkan akan diagihkan kepada pesakit di bawah Yayasan Amal Maedicare serta keluarga terpilih di sekitar Lembah Klang.

“Raya adalah masa untuk berkongsi dan bersedekah. Melalui kempen ‘Kongsi Rezeki’, kami ingin memudahkan komuniti untuk menyumbang dan pada masa sama memastikan bantuan ini sampai kepada rumah kebajikan serta rumah anak yatim yang telah dikenal pasti,” katanya.

Selepas majlis pelancaran, tetamu turut diraikan dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di restoran Bowlcrafted.

Majlis itu menampilkan sesi ‘Live Plating’ oleh cef selebriti terkenal, Chef Riz yang mempersembahkan kemahiran memasak secara langsung di dapur terbuka sebelum waktu berbuka puasa.

Sesi itu bukan sahaja memberikan pengalaman santapan yang unik kepada tetamu, malah turut menggabungkan elemen tradisi Raya dengan konsep hidangan moden yang menjadi identiti restoran berkenaan.

168 Park Mall yang terletak di sepanjang Jalan Kuching, Selayang adalah pusat komuniti mesra keluarga yang menempatkan lebih 80 kedai merangkumi pelbagai kategori termasuk membeli-belah, makanan dan minuman serta keperluan harian, sekali gus menjadikannya destinasi pilihan utama bagi komuniti setempat.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen “Lebaran Klasika Raya”, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.168parkmall.com atau mengikuti perkembangan terkini pusat beli-belah itu menerusi platform media sosial rasmi mereka.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular