editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd melancarkan iklan Raya terbaharu berjudul “Bila”, sebuah karya yang mengangkat realiti tekanan sosial yang sering dihadapi anak muda ketika pulang berhari raya.
Iklan Raya itu dihasilkan dengan sokongan penaja rasmi, Milo dan diarahkan oleh pelakon serta pengarah muda berbakat, Nadhir Nasar.
Melalui sentuhan pengarahan beliau, karya ini menampilkan penceritaan yang ringan, dekat dengan realiti kehidupan masyarakat serta sarat dengan emosi kekeluargaan yang mampu menyentuh hati penonton.
“Bila” mengisahkan perjalanan hidup Siti, seorang wanita bekerjaya yang melihat Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga musim yang penuh dengan tekanan.
Pada usia 30 tahun, setiap kali pulang ke kampung halaman, Siti sering diasak dengan soalan yang sama daripada ahli keluarga dan saudara-mara, “Bila nak kahwin?”.

Bagi mengelakkan desakan itu, Siti mengambil keputusan luar biasa dengan mengupah seorang ‘fake boyfriend’ setiap kali pulang beraya.
Namun, Raya kali ini membawa kelainan apabila Alif, pelakon sambilan yang diupah Siti, tanpa sengaja berjaya menawan hati seluruh ahli keluarga.
Situasi itu akhirnya membuatkan Siti mula berdepan dengan hakikat sebenar kehidupannya, termasuk persoalan sama ada kejayaan kerjaya yang dikejar selama ini telah menjauhkan dirinya daripada orang yang paling disayangi.
Melalui gabungan elemen komedi romantik, emosi dan kehangatan kekeluargaan, naskhah ini disampaikan dengan pendekatan yang sederhana namun berkesan.
Ia tidak sekadar menghiburkan, malah turut mengangkat realiti tekanan sosial yang sering dihadapi ketika musim perayaan, di samping mengajak penonton menghargai makna sebenar keluarga, kejujuran serta hubungan yang tulus.
Iklan Raya ini dibintangi oleh barisan pelakon popular tanah air termasuk Yusuf Bahrin, Areef Amran, Erysha Emyra, Ezzanie Jasny, Auni Yusri dan Syad Mutalib, selain penampilan istimewa penyanyi bersuara emas, Liza Hanim.
Menurut Nadhir Nasar, pengalaman bekerjasama dengan rakan-rakan di bawah pengurusan yang sama memberikan satu nilai istimewa sepanjang proses penghasilan iklan berkenaan.
Nadhir turut meluahkan rasa bangga kerana dapat terus berkembang bersama pasukan Laugh Out Loud Entertainment.
“Bekerja bersama rakan-rakan di bawah pengurusan yang sama sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa, lebih-lebih lagi apabila kami berkolaborasi dalam projek yang saya arahkan.
“Saya bangga untuk terus melangkah, membesar dan mencipta bersama LOL management,” katanya.
Sementara itu, wakil produksi berkata, iklan “Bila” dihasilkan dengan pendekatan penceritaan yang santai dan jujur kerana isu yang diketengahkan sangat dekat dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini.
Soalan “bila” yang sering dilontarkan kepada individu bujang mungkin kedengaran biasa, namun di sebaliknya tersimpan pelbagai emosi seperti tekanan, kerinduan serta perasaan yang jarang diluahkan secara terbuka.
Justeru, pihak produksi memilih untuk menyampaikan kisah itu dengan cara yang ringan tetapi sarat dengan makna.
Iklan Raya “Bila” dijadualkan untuk ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd pada Sabtu, 7 Mac 2026 jam 8 malam.
Karya ini dijangka menarik perhatian penonton yang meminati kisah komedi romantik dengan sentuhan kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan sebenar.

