editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Gabungan seni silat dan tarian zapin dalam satu persembahan flashmob yang berlangsung di perkarangan Pavilion Bukit Bintang baru-baru ini berjaya mencuri perhatian pengunjung tempatan dan pelancong asing.
Persembahan unik itu bukan sekadar hiburan spontan, sebaliknya menjadi strategi kreatif memperkenalkan jenama pakaian lokal yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, Keris & Co.
Dalam suasana moden dan kosmopolitan pusat beli-belah terkenal itu, elemen tradisional Melayu diketengahkan dengan penuh gaya dan keyakinan.

Persembahan yang menggabungkan seni mempertahankan diri silat serta lenggok zapin yang lembut dan tersusun mewujudkan kontras menarik antara warisan budaya dan landskap urban.
Pendekatan ini secara tidak langsung memperkukuh identiti jenama Keris & Co sebagai pengeluar pakaian yang mengangkat nilai tradisional dalam sentuhan kontemporari.
Pengasas Keris & Co, Hanzat Azmi, berkata, idea flashmob dipilih sebagai medium promosi kerana lebih santai, segar dan dekat dengan masyarakat.

Bagi lelaki berusia 31 tahun itu, silat dan zapin cukup sinonim dengan budaya Melayu dan apabila dipersembahkan di lokasi moden seperti Pavilion, ia menghasilkan suasana yang unik serta berupaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat.
“Kami merancang untuk menganjurkan acara flashmob yang lebih besar pada tahun hadapan di lokasi berbeza sebagai sebahagian daripada strategi pengukuhan jenama.
“Usaha ini dilihat sebagai langkah berterusan untuk memperkenalkan pakaian tradisional dalam pendekatan yang lebih dinamik dan relevan dengan gaya hidup masa kini,” katanya.
Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Keris & Co turut mengambil inisiatif mengagihkan sebanyak 100 helai baju kurta secara percuma kepada orang ramai.

Inisiatif itu bukan sahaja mencerminkan semangat berkongsi, malah memberi peluang kepada masyarakat merasai sendiri kualiti dan keselesaan pakaian yang ditawarkan sejak penubuhan jenama itu pada tahun 2024.
Hanzat berkata, kurta yang diberikan sesuai digayakan oleh lelaki dan wanita.

Bagi wanita, ia boleh dipadankan bersama kain untuk tampil seperti baju kurung Kedah, sekali gus menampilkan gaya yang sopan dan versatil.
Menariknya, sambutan bukan sahaja diterima daripada orang tempatan, malah pelancong asing turut menunjukkan minat dan keterujaan mendapatkan kurta berkenaan, sekali gus membuka ruang memperkenalkan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Walaupun masih baharu dalam industri fesyen tempatan, Keris & Co hadir dengan visi jelas untuk mengangkat baju Melayu sebagai pakaian versatil yang tidak terhad kepada musim perayaan semata-mata.
Jenama ini berusaha menjadikan busana tradisional sebagai pilihan harian yang selesa dan bergaya untuk pelbagai acara.

Koleksi yang ditawarkan menggunakan fabrik ‘Japanese Cotton’ premium yang terkenal dengan teksturnya yang lembut, selesa dan sesuai dengan cuaca tropika negara ini.
Keistimewaan utama terletak pada kualiti fabrik yang tidak mudah berbulu, namun tetap ditawarkan pada harga mampu milik bermula RM39 hingga RM129, menjadikan ia antara pilihan berbaloi dalam pasaran pakaian Melayu moden.

Setakat ini, Keris & Co menawarkan lebih 40 pilihan warna merangkumi lebih 18 koleksi, dengan jualan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi platform digital seperti TikTok, Shopee serta laman web rasmi jenama berkenaan.
Pendekatan e-dagang ini membolehkan jenama itu mencapai pelanggan lebih luas termasuk pasaran luar negara seperti Singapura dan Brunei.
Dalam perancangan jangka panjang, Keris & Co berhasrat membuka outlet fizikal bagi memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih dekat dan eksklusif kepada pelanggan.

Selain itu, jenama ini juga merancang untuk memperkenalkan koleksi pakaian wanita pada masa akan datang sebagai langkah memperluaskan segmen pasaran dan menjadikan jenama berkenaan lebih inklusif.
Dengan pendekatan pemasaran kreatif, penekanan terhadap kualiti premium pada harga mampu milik serta komitmen mengangkat warisan budaya dalam gaya kontemporari, Keris & Co dilihat berpotensi menjadi antara jenama pakaian Melayu moden yang signifikan dalam industri fesyen tempatan dan serantau.

